217 pekerja taman tema Perak terima pampasan RM1.2 juta

MAPS yang dibangunkan dengan kos RM520 juta dan dibuka kepada orang ramai pada Jun 2017 diisytiharkan tutup 28 Jan lepas sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak. (Gambar Bernama)

IPOH: 217 pekerja Animation Theme Park Sdn Bhd (ATP) yang diberhentikan serta-merta susulan penutupan taman tema Movie Animation Park Studios (MAPS) pada Januari lepas akan menerima bayaran pampasan pada akhir Februari ini, menurut Kementerian Sumber Manusia.

Kementerian itu dalam kenyataan di sini, hari ini berkata, bayaran keseluruhan yang dianggarkan RM1.2 juta itu meliputi bayaran gaji tertunggak, bayaran pampasan gaji sebagai ganti notis pemberhentian pekerjaan, bayaran cuti tahunan dan faedah pemberhentian yang perlu dibayar kepada pekerja selaras dengan peruntukan Akta Kerja 1955.

Menurutnya, Kementerian Sumber Manusia menerusi menterinya M Kula Segaran meminta agar proses pembayaran dikendalikan sepenuhnya oleh pihak penerima dan pengurus yang dilantik iaitu Tetuan Ernst & Young.

“Pekerja juga telah menerima gaji untuk bulan Januari lepas, termasuk bayaran kerja lebih masa bagi bulan Disember 2019 pada 4 Feb lepas.

“Kerajaan Perak melalui Perak Corporation Bhd (PCB) turut membantu dalam perkara ini melalui bayaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada pekerja yang mencarum. Pihak PCB telah menyalurkan bayaran bagi caruman KWSP kepada bank yang dipilih,” menurut kenyataan itu.

Kementerian Sumber Manusia melalui Jabatan Tenaga Kerja berusaha membantu dalam mendapatkan maklumat lanjut berhubung tuntutan pekerja di Jabatan Tenaga Kerja berdasarkan peruntukan Seksyen 69 Akta Kerja 1955.

Menurutnya, Kementerian Sumber Manusia turut menyarankan agar kesemua pekerja ATP berdaftar dan membuat permohonan dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

“Sehingga hari ini, sebanyak 194 daripada 217 pekerja ATP berdaftar dan membuat permohonan dengan Perkeso. Daripada jumlah itu, 126 permohonan diluluskan bagi membolehkan intervensi pihak Perkeso dalam aspek berkaitan Akta Sistem Insurans Pekerjaan Perkeso (EIS).

“Baki 23 orang lagi adalah dipohon untuk membuat pendaftaran dan permohonan segera. Pekerja yang membuat potongan dalam EIS berkemungkinan layak mendapat bayaran faedah selepas penamatan di bawah EIS,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, pekerja yang diberhentikan digalakkan untuk mendaftar secara dalam talian dengan portal JobsMalaysia atau berkunjung secara peribadi ke Pusat JobsMalaysia (JMC) di Pusat Transformasi Bandar (UTC), di sini, bagi mendapatkan bantuan Jabatan Tenaga Kerja dalam prospek khidmat dan nasihat juga pendaftaran serta pemadanan pekerjaan.

Pada 28 Jan lepas, Tetuan Ernst & Young mengeluarkan notis penutupan MAPS berkuat kuasa 28 Jan sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

MAPS yang dibangunkan dengan kos RM520 juta dibuka kepada orang ramai pada Jun 2017.