78% tolak PPSMI, kata majlis Melayu

Kerajaan bercadang memperkenalkan semula pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Sebuah kumpulan Melayu dan kesatuan guru mempertikaikan dapatan tinjauan sebuah badan pemikir yang mengatakan kebanyakan responden menyokong dasar pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris dihidupkan semula.

Jurucakap Majlis Perundingan Melayu, Awang Sariyan berkata kajian yang beliau jalankan dengan Institut Alam dan Tamadun Melayu pada April tahun lepas mendapati majoriti besar responden menolak program itu.

Beliau berkata 78.5% responden daripada 2,800 orang berpendirian 2 mata pelajaran itu harus diajar dalam bahasa Melayu.

Dapatan itu bertentangan dengan dapatan yang dilaporkan Emir Research yang pada Jumaat mengumumkan kebanyakan responden menyokong cadangan menghidupkan semula Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), berdasarkan dapatan yang dijalankan pada November.

Awang Sariyan, jurucakap Majlis Perundingan Melayu.

Sariyan menegaskan banyak kajian lain, termasuk oleh Kementerian Pendidikan, menunjukkan kelemahan PPSMI.

“PPSMI disahkan program yang salah yang gagal dari segi dasar, matlamat, dan pelaksanaan,” katanya kepada FMT.

“Kajian empirikal membuktikan kemahiran bahasa Inggeris tidak bertambah baik, dan sebenarnya prestasi pelajar dalam sains dan matemarik juga menurun.”

Beliau berkata penguasaan bahasa Inggeris mesti diperoleh menerusi pembelajaran mata pelajaran bahasa itu sendiri, dan menerusi latihan guru-guru yang lebih baik, dengan sukatan pelajaran dan badan pembelajaran yang betul.

Awang, yang juga penasihat Persatuan Linguistik Malaysia, berkata Malaysia wajar mencontohi Jerman, China, Perancis, Korea Selatan dan Jepun di mana sains dan matematik diajar dalam bahasa sendiri.

“Negara-negara ini tidak ketepikan bahasa Inggeris, bahkan mereka tekankan kepentingannya, tetapi tidaklah sehingga mengutamakan bahasa asing mengatasi bahasa sendiri,” tambahnya.

Aminuddin Awang, presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan, Aminuddin Awang berkata banyak kajian lain menunjukkan PPSMI memberi kesan negatif pada pelajar, terutama di kawasan luar bandar.

Beliau memberitahu FMT input guru harus diambil kira dalam kajian ke atas PPSMI kerana mereka ada pengetahuan langsung dan pengalaman mengenai apa yang sebenarnya berlaku apabila ia dilaksanakan.

“Guru-guru tahu masalah yang timbul untuk pelajar-pelajar dalam Sains dan Matematik apabila PPSMI dilaksanakan,” katanya.

Aminuddin berharap satu kajian yang holistik dan empirikal dijalankan oleh ahli-ahli akademi mengenai perkara itu disamping meneliti masalah yang timbul apabila PPSMI dilaksanakan.

Beliau menggesa Kementerian Pendidikan mengukuhkan Program Dwibahasa (DL). “Dengan DLP, hanya sekolah, guru, pelajar, dan ibu bapa yang benar-benar bersedia akan terlibat.”

PPSMI diperkenalkan pada 2003 bagi Tahun 1 di sekolah rendah dan Tingkatan 1 di sekolah menengah. Program itu dimansuhkan pada 2013 dan DLP diperkenalkan pada 2018, melibatkan 22,960 pelajar di sekolah rendah dan menengah.