Awasi kesan keletihan dalam perang hadapi Covid-19, kata pakar

Pakar berkata, kebajikan petugas penjagaan kesihatan penting kerana mereka bekerja bertungkus-lumus bagi membendung jangkitan Covid-19. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Seorang pakar menggesa kerajaan mengurus kesan keletihan dalam system penjagaan kesihatan negara sewaktu doctor, jururawat dan pekerja di barisan hadapan bekerja bertungkus-lumus untuk mengawal jangkitan Covid-19.

Felo kanan sistem dan dasar kesihatan Universiti Malaya Dr Khor Swee Kheng berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) perlu peka supaya individu terbabit tidak berasa kehabisan tenaga, murung atau tertekan dari sudut emosi.

“Kita juga tidak mahu mereka berdepan kemalangan jalan raya selepas habis bekerja, misalnya. Justeru pengurusan keletihan dalam sistem kesihatan juga penting,” katanya kepada pemberita selepas berucap pada forum bertajuk “The Science, Politics and Geopolitics of Coronavirus” anjuran Institut Kajian Strategi dan Antarabangsa (ISIS) di sini, hari ini.

Khor yang kini bertugas di Blavatnik School of Government di Universiti Oxford, United Kingdom, memuji kementerian berkenaan atas usahanya mengurus wabak Covid-19, terutamanya dari segi penyampaian maklumat kepada orang awam.

Beliau berkata, ia bersikap telus dan komited dalam mengawal jangkitan tersebut, selain cepat bertindak, menurut laporan Bernama.

“KKM kerap berkomunikasi dengan orang awam, sama ada melalui media sosial atau media tradisional,” katanya.

Selain menggunakan pelbagai bahasa, penyampaian maklumat yang dibincangkan komprehensif.

“KKM konsisten dalam menyampaikan maklumat terakhir mengenai Covid-19, sama ada melalui sidang akhbar atau kenyataan akhbar, maupun melalui platform media sosial,” kata Khor.