Hapus lesen PSV jika motosikal dikecualikan, kata persatuan teksi

Seorang penunggang Dego Ride menggunakan aplikasi untuk menghantar pesanan pelanggan. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Gabungan Teksi SeMalaysia (GTSM) menggesa kerajaan menghapuskan lesen pengangkutan awam (PSV) bagi teksi dan kenderaan e-panggilan jika pengecualian diberikan kepada pengguna motosikal.

Presiden Kamarudin Mohd Hussain menegaskan kerajaan tidak boleh tidak boleh dwistandard dalam melaksanakan undang-undang.

“Ia perlu di patuhi oleh semua rakyat, tidak kiralah ia bersifat sementara lebih-lebih lagi melibatkan aspek keselamatan.

“Apabila seseorang melibatkan diri dalam industri pengangkutan awam dan membawa penumpang, ia perlu mematuhi segala peraturan yang ditetapkan termasuklah memiliki lesen PSV,” katanya kepada FMT.

Sebelum ini, penunggang syarikat perkongsian kenderaan, Dego Ride meminta kerajaan tidak mewajibkan pengambilan lesen PSV kerana bukan semua penunggang bekerja sebagai pemandu sepenuh masa.

Lesen PSV bagi e-panggilan membenarkan pemegang lesen berharga RM115 setahun itu membawa penumpang.

Kamarudin berpandangan pengguna motosikal yang menyertai e-panggilan juga perlu menjalani pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) dan menukar status kenderaan daripada persendirian kepada perdagangan.

Katanya, peraturan itu diwartakan.

“Apakah Kementerian Pengangkutan hari ini akan terus mengamalkan budaya dwistandard dalam melaksanakan undang-undang seperti yang sedang berlaku antara teksi dan kenderaan e-hailing atau kementerian akan membuktikan mereka mengamalkan kedaulatan undang-undang?” katanya.