Pendakwa mohon beku wang Umno, MCA didakwa milik 1MDB sementara menunggu rayuan

SPRM menyita RM168 juta daripada Umno, Wanita MCA dan 2 syarikat, tetapi pada 7 Feb lepas Mahkamah Tinggi memerintahkan wang tersebut dikembalikan.

KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan memohon untuk menggantung pelaksanaan perintah Mahkamah Tinggi supaya wang RM194 juta yang disita daripada Umno, Wanita MCA dan 2 syarikat dikembalikan kepada keempat-empat entiti itu.

Wang tersebut yang disita oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tahun lepas didakwa berkaitan dengan skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pihak pendakwaan menfailkan permohonan penggantungan pada 14 Feb 2020 sementara rayuan didengar di Mahkamah Rayuan.

Pada 7 Feb lepas, hakim Mohamed Zaini Mazlan menolak permohonan pihak pendakwaan untuk melucut hak wang disita daripada Umno, Wanita MCA dan 2 syarikat iaitu Perano Sdn Bhd, dan Binsabi Sdn Bhd,

Permohonan pelucutan hak wang terhadap Umno melibatkan RM192,965,413.61 dan RM300,000 terhadap Wanita MCA, manakala Perano Sdn Bhd, yang menjual hijab dan Binsabi Sdn Bhd, yang membekalkan khemah, masing-masing membabitkan RM337,634.78 dan RM827,250, yang mereka didakwa terima daripada bekas perdana menteri Najib Razak.

Hakim Mohamed Zaini membuat keputusan itu atas alasan wang tersebut tidak boleh dikatakan diterima daripada Najib dan tidak ada bukti untuk mengesahkan wang itu daripada aktiviti yang menyalahi undang-undang.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan memohon untuk menangguhkan keputusan tersebut kerana pihaknya akan memfailkan rayuan terhadap perintah itu.

Hakim kemudian mengeluarkan perintah interim untuk akaun itu dibekukan sehingga selesai permohonan penangguhan.

Hari ini Mahkamah Tinggi menetapkan 10 Mac untuk pengurusan kes berhubung permohonan pihak pendakwaan itu terhadap Binsabi Sdn Bhd.

Timbalan pendakwa raya Samihah Rhazali memberitahu perkara itu kepada pemberita selepas pengurusan kes di dalam kamar timbalan pendaftar Catherine Nicholas.

Samihah berkata, peguam atau wakil kepada Umno, Wanita MCA dan Perano Sdn Bhd tidak hadir di mahkamah hari ini.

“Mahkamah menetapkan esok untuk kehadiran peguam atau wakil 3 pihak itu kerana pada hari ini 3 pihak tersebut tidak hadir ke mahkamah,” katanya.

Beliau berkata, mahkamah menetapkan 2 Mac untuk syarikat Binsabi yang diwakili peguam Mohd Khalil Tajuddin selaku responden memfailkan afidavit jawapan terhadap permohonan pihak pendakwaan, manakala 9 Mac untuk pihak pendakwaan (pemohon) memfailkan afidavit balasan.