Perbicaraan SRC dihentikan selepas pihak pembelaan dakwa saksi SPRM enggan berjumpa

Bekas perdana menteri Najib Razak.

KUALA LUMPUR: Perbicaraan SRC International melibatkan Najib Razak tidak dapat diteruskan hari ini selepas pihak pembelaan berkata ia tidak dapat berjumpa saksi dan mengambil keterangannya.

Peguam Najib Muhammad Shafee Abdullah memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa pihak pembelaan sepatutnya bertemu dengan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Nasharudin Amir pada Sabtu tetapi pegawai itu enggan berjumpa dengan pasukannya.

“Kami mahu menemubual pegawai itu untuk mendapatkan bukti yang relevan. Ini adalah pra-syarat untuk perbicaraan yang adil,” kata Shafee.

Beliau menggesa mahkamah mengeluarkan arahan untuk Nasharudin berjumpa dengan pasukan pembelaan sebelum memberi keterangan di mahkamah, sambil menambah sebagai penjawat awam, Nasharudin “berhutang tugas untuk perbicaraan yang benar dan adil”.

Pendakwa ad hoc V Sithambaram memberitahu mahkamah Nasharudin hadir hari ini dan bersedia memberi keterangan di mahkamah terbuka.

“Dia tidak ada dalam senarai saksi yang ditawarkan kepada pembelaan,” kata Sithambaram.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali berkata beliau akan mendengar hujah lanjut dari Shafee dan Sithambaram pada Isnin depan sama ada mahkamah boleh membuat perintah untuk memaksa Nasharudin berjumpa dengan peguam.

Pada hari yang sama, mahkamah juga akan mendengar permohonan Najib untuk mendapatkan rakaman audio dari SPRM, dipercayai berkaitan dengan 1MDB, yang dikatakan penting bagi kes Najib yang sedang berlangsung.

Najib menghadapi 6 tuduhan pengubahan wang haram dan pecah amanah dalam pemindahan RM42 juta daripada SRC International kepada akaun peribadinya.

Beliau juga dituduh menyalahgunakan kuasa beliau sebagai perdana menteri dengan memberi jaminan kerajaan kepada pinjaman RM4 bilion daripada SRC International dari Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan).