Rakaman audio SPRM: Polis panggil Najib, Rosmah beri keterangan dalam masa terdekat

Menurut polis bekas perdana menteri Najib Razak dan isteri, Rosmah Mansor akan dipanggil dalam masa terdekat untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan berkait rakaman audio yang didedahkan oleh SPRM bulan lepas. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Bekas perdana menteri, Najib Razak dan isteri, Rosmah Mansor, akan dipanggil untuk memberi keterangan kepada polis dalam masa terdekat bagi membantu siasatan kes berkaitan 9 rakaman audio yang didedahkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini.

“Saya pasti sebelum hujung bulan ini kita akan ambil tindakan, kata pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed.

Pada 6 Feb lalu, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata, polis akan berusaha mempercepat proses siasatan berhubung pendedahan rakaman audio oleh SPRM membabitkan 3 individu berprofil tinggi, namun individu terbabit tidak dapat hadir memberi keterangan.

Beliau berkata, proses memanggil Najib, Rosmah dan bekas ketua pesuruhjaya SPRM Dzulkifli Ahmad masih berjalan.

Bagaimanapun individu terbabit katanya, memberi alasan antaranya sakit dan berdepan dengan proses mahkamah.

Hamid berkata, pegawainya berusaha melengkapkan dan menyerahkan kertas siasatan kepada peguam negara, namun tidak dapat memberikan tarikh menyelesaikan siasatan

Pada 8 Jan, SPRM mendedahkan rakaman audio perbualan yang didakwa melibatkan kebocoran maklumat daripada Jabatan Peguam Negara kepada Najib semasa beliau menjadi perdana menteri dan perbualan lain berkaitan siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad dan SRC International Sdn Bhd.

Klip audio itu dipercayai perbualan yang melibatkan Rosmah, Dzulkifli, seorang tokoh asing dan beberapa individu lain, termasuk bekas ketua setiausaha sulit Najib, Shukry Mohd Salleh; bekas pegawai khas Najib, Amhari Efendi Nazaruddin dan ahli Parlimen Baling, Abdul Azeez Abdul Rahim.