Rakyat Malaysia paling ramai cari suaka di Australia

Ribuan warga asing terbang ke Australia untuk mencari suaka. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Kira-kira 1/4 pencari suaka yang terbang ke Australia bulan lalu rakyat Malaysia, di sebalik perdebatan mengenai keupayaan kawalan sempadan oleh Canberra apabila berpuluh ribu warga asing memilih kekal di negara itu walaupun permohonan suaka ditolak.

Sydney Morning Herald (SMH) memetik angka yang dibentangkan di Parlimen Australia, menunjukkan sejumlah 546 rakyat Malaysia antara 1,931 pencari suaka yang tiba di negara itu menggunakan pengangkutan udara.

Penduduk China berada di tempat ke-2 (309 pencari suaka), diikuti India (255), Fiji (83), dan Filipina (61).

SMH melaporkan hampir 50,000 pencari suaka di mana permohonan mereka ditolak masih berada di Australia menunggu untuk dihantar pulang.

Laporan itu memetik Menteri Penduduk, Alan Tudge sebagai berkata Canberra bekerjasama dengan negara lain termasuk Malaysia untuk membendung permohonan suaka yang tidak berasas.

“Australia mempunyai satu program kemanusiaan yang paling murah hati di dunia dan kami menempatkan ribuan orang yang sangat memerlukan setiap tahun,” katanya.

Warga Malaysia boleh melawat Australia dengan memohon visa atas talian melalui Pihak Berkuasa Perjalanan Elektronik, yang membolehkan mereka masuk beberapa kali sehingga 12 bulan.

Tahun lalu, Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Andrew Goledzinowski mendedahkan kira-kira 33,000 rakyat Malaysia mencari status pelarian di Australia sejak beberapa tahun kebelakangan.

Goledzinowski berkata rakyat Malaysia juga menduduki tempat teratas tinggal lebih masa kira-kira 10,500 orang, lebih daripada jumlah gabungan 3 negara seterusnya.