Ringgit terus catat aliran menurun berbanding dolar AS

Pelabur kekal tidak memasuki pasaran kerana perlu mendapat analisis lebih baik mengenai data ekonomi serantau berikutan penularan wabak Covid-19.

KUALA LUMPUR: Ringgit terus mencatatkan aliran penurunan berbanding dolar AS dari minggu lepas untuk ditutup rendah bagi hari dagangan ke-4 berturut-turut berikutan kekurangan permintaan.

Pada 6 petang, ringgit diniagakan pada 4.1400/1450 berbanding dolar US daripada 4.1360/1400 semasa ditutup pada Jumaat lepas.

Ketua strategi pasaran AxiCorp Stephen Innes berkata, pelabur kekal tidak memasuki pasaran kerana mereka perlu mendapat analisis lebih baik mengenai data ekonomi serantau berikutan Covid-19 sebelum memutuskan tindakan mereka yang seterusnya.

“Dari segi perkembangan positif, bank pusat di rantau ini, termasuk Bank Negara Malaysia (BNM), mempertimbangkan untuk mengimbangi beberapa ‘kerosakan’ dengan melonggarkan dasar.

“Ini sesuatu yang baik untuk ringgit berikutan ia akan mempercepatkan perdagangan pemulihan pembuatan,” katany.

Innes berkata, pasaran juga lengang berikutan kebanyakan pelabur asing tiada disebabkan pasaran AS ditutup sempena cuti Hari Presiden.

Ringgit turut diniagakan rendah berbanding mata wang utama lain.

Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 2.9806/9846 daripada 2.9751/9797 dan merosot berbanding euro kepada 4.4898/4957 daripada 4.4851/4902 pada Jumaat lepas.

Ringgit turun berbanding pound Britain kepada 5.3977/4059 daripada 5.3904/3973 dan susut berbanding yen Jepun kepada 3.7674/7730 daripada 3.7665/7705 minggu lepas.