Rakyat Malaysia pertama sembuh Covid-19 dibenar pulang, kata Dzulkefly

Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad.

PETALING JAYA: Menteri Kesihatan, Dzulkefly Ahmad memaklumkan rakyat Malaysia pertama yang dijangkiti Covid-19 dibenarkan pulang hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan pesakit yang sembuh dan dibenarkan pulang seramai 9 daripada 22 individu.

“Kes (seorang sembuh) adalah kes ke-9, melibatkan seorang lelaki rakyat Malaysia berumur 41 tahun, yang sebelum ini dirawat di Hospital Sungai Buloh.

“Beliau juga merupakan rakyat Malaysia pertama yang disahkan positif jangkitan Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Dzulkefly berkata 15 daripada 22 kes positif Covid-19 itu melibatkan warga China, 6 rakyat tempatan dan seorang warga Amerika Syarikat.

Beliau berkata, setakat hari ini tiada pertambahan kes jangkitan koronavirus (Covid-19) baru dilaporkan sehingga hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kekal 22 kes.

Daripada 22 kes berkenaan, 12 kes adalah dalam kategori Patient-Under-Investigation (PUI), 8 kes dalam kategori kontak rapat, dan 2 kes melibatkan rakyat yang dibawa pulang dari Wuhan dalam misi kemanusiaan baru-baru ini.

Dzulkefly berkata, sehingga kini sebanyak 557 Patient-Under-Investigation (PUI) dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) dan sebanyak 316 kontak rapat dikenal pasti.

Dalam pada itu, beliau berkata komunikasi dengan negara Kemboja telah dilakukan melalui International Health Regulations (IHR) Focal Point Malaysia.

Beliau berkata IHR Focal Point Malaysia berhubung dengan IHR Focal Point Kemboja sejak 14 Febr lalu, sebelum kes positif seorang warga AS dikesan.

“Pada petang ini, saya telah membuat telesidang (teleconference) bersama dengan Menteri Kesihatan Kemboja, Prof Mam Bunheng, bagi memperkukuh kerjasama di antara 2 negara dalam usaha menangani kejadian jangkitan Covid-19 ini.

“Saya maklumkan kepada beliau bahawa pesakit rakyat Amerika Syarikat tersebut menunjukkan tahap kesihatan yang semakin baik,” katanya.

Dzulkefly berkata beliau turut memaklumkan bahawa ujian pengesahan Covid-19 ulangan dijalankan mengikut tatacara yang ditetapkan dan didapati masih positif.

“KKM akan terus bekerjasama secara rapat dengan semua negara terlibat dan pihak WHO dalam pengurusan kes Covid-19 dan penyelarasan maklumat bagi menjalankan aktiviti pengesanan kontak rapat.