Taiwan catat kematian pertama Covid-19

5 kematian direkodkan di luar China akibat Covidd-19 iaitu di Taiwan, Filipina, Hong Kong, Jepun, dan Perancis.

TAIPEI: Taiwan melaporkan kematian pertama akibat Covid-19 pada Ahad dengan jumlah kematian akibat wabak itu meningkat kepada 1,665 di China.

Lelaki 61 tahun dari Taiwan dengan masalah kesihatan tetapi tiada sejarah perjalanan di luar negara, meninggal dunia di hospital pada Sabtu didapati positif virus itu, pegawai mengesahkan.

Ia adalah kematian ke-5 yang direkodkan di luar China – mangsa terdahulu di Filipina, Hong Kong, Jepun, dan Perancis.

“Kes terbaru ini adalah pemandu teksi yang tidak berlesen. Pelanggan utamanya adalah mereka yang pernah ke China, Hong Kong dan Macau,” kata Menteri Kesihatan dan Kebajikan, Chen Shih Chung.

Chen berkata pihak berkuasa melakukan pemeriksaan terhadap senarai pelanggan pemandu itu dan sejarah perjalanan mereka, dalam usaha mengesan sumber jangkitan.

Seorang lelaki berusia 50 tahun kemudian disahkan menghidap virus tersebut, tambah Chen, walaupun dia tidak menunjukkan sebarang gejala.

Kes yang disahkan Taiwan kini ialah 20 orang.