Tiada bukti untuk lapor SPRM isu pangsapuri runtuh, kata Kok

Ahli Parlimen Teresa Kok berkata beliau tiada asas untuk membuat laporan mengenai pangsapuri yang runtuh di Taman Desa.

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berkata beliau tiada bukti terdapat sebarang urusan tidak jujur dalam meluluskan pembinaan blok pangsapuri separa siap yang runtuh pada Jumaat.

Maxim Holdings, pemaju blok pangsapuri 37 tingkat itu, pada Jumaat mengesahkan sebahagian daripada kolam renang di tingkat 6 runtuh – memerangkap 2 pekerja Bangladesh yang diselamatkan dan dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan.

Pada sidang media semalam, ahli jawatankuasa Protect Taman Desa Coalition, Philip Phang berkata tanah di mana pangsapuri itu dibina diwartakan sebagai kawasan hijau dalam Pelan Induk Kuala Lumpur 2020.

Kumpulan itu, yang membantah pembangunan itu sejak 2017, menghantar beberapa surat kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan memorandum kepada menteri Wilayah Persekutuan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menggesa kelulusan projek itu disiasat.

Ketika ditanya penduduk adakah beliau akan membuat laporan mengenai kelulusan projek itu, Kok berkata tiada asas untuk berbuat demikian.

“Ada bukti urusan ini tidak sah? Kalau anda mahu laporkan kepada SPRM, perlu ada bukti menunjukkan rasuah berlaku,” kata Kok ketika melawat tempat kejadian hari ini.

“Saya tiada bukti rasuah berlaku, dan saya akan dipertanggungjawabkan sekiranya saya lapor kepada SPRM bahawa rasuah berlaku antara pemaju dan DBKL.

“Ia keputusan antara DBKL dan menteri WP ketika itu. Saya sudah tentu tak setuju dengan banyak projek dan kelulusan yang dibuat oleh (bekas menteri) Tengku Adnan (Tengku Mansor), seperti yang saya sebut di Dewan Rakyat mengenai pembangunan berlebihan.

“Tetapi untuk mengaitkannya dengan laporan SPRM, saya perlu bertanggungjawab dan tunjukkan bukti ada transaksi tertentu,” tambahnya.

Perintah henti tugas dikeluarkan terhadap kontraktor pangsapuri runtuh itu. Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin minggu lepas berkata lesen jualan pangsapuri itu digantung sehingga siasatan selesai.

Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH) sedang menyiasat punca runtuhan itu. Siasatan dijangka mengambil masa sebulan.