Tiada kes positif Covid-19 di Hospital Miri

Hospital Miri menerima 16 kes pesakit dalam siasatan tetapi 14 didapati negatif dan 2 lagi masih menunggu keputusan. (Gambar Facebook)

KUCHING: Jabatan Kesihatan Sarawak hari ini menegaskan tiada kes disahkan positif jangkitan COVID-19 di Hospital Miri.

Pengarah Kesihatan Negeri Dr Chin Zin Hing berkata sehingga semalam, hospital itu menerima 16 kes pesakit dalam siasatan (PUI) melibatkan 14 warga Malaysia dan masing-masing seorang rakyat China dan Kanada.

“Bagaimanapun, 14 kes PUI didapati negatif COVID-19 manakala 2 lagi masih menunggu keputusan. Seramai 10 kes PUI dibenarkan pulang setelah didapati sihat dan ujian makmal kali kedua (ke atas mereka) juga didapati negatif,” katanya dalam kenyataan.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya mengamalkan tahap kebersihan yang tinggi seperti mengamalkan adab batuk yang baik dan memastikan kebersihan diri sentiasa dijaga sepanjang masa.

“Jabatan Kesihatan Sarawak juga mengingatkan orang ramai agar segera mendapatkan rawatan sekiranya demam atau mengalami gejala jangkitan saluran penafasan dalam tempoh 14 hari selepas pulang daripada lawatan ke China,” katanya.

Semua pengamal perubatan juga dikehendaki melaporkan kes-kes disyaki COVID-19 kepada Pejabat Kesihatan berdekatan atau terus kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis jabatan itu di talian 082-443248 atau e-mel [email protected].