Ashraf Sinclair akan dikebumikan di San Diego Hills, Karawang selepas Asar

Notis yang diletak di luar rumah duka yang menempatkan jenazah Ashraf Sinclair. (Gambar kompas.com)

Berita kematian Ashraf Sinclair atau nama penuh Ashraf Daniel Mohamad Sinclair ternyata mengejut semua orang di Indonesia dan Malaysia.

Suami kepada Bunga Citra Lestari ini dilaporkan meninggal dunia akibat serangan jantung sekitar pukul 4 pagi tadi.

Jenazah Ashraf akan dikebumikan di San Diego Hills, Karawang, Jawa Barat, Indonesia selepas solat Asar, hari ini.

Memetik laporan portal berita Kompas.com maklumat itu dipaparkan menerusi papan kenyataan di depan rumah duka yang menempatkan jenazah Ashraf di kawasan Pejaten Barat, Jakarta Selatan.

Rumah duka adalah rumah yang menempatkan jenazah sebelum dikebumikan.

Kediaman Allahyarham Ashraf dan Bunga Citra Sinclair dikunjungi jiran. dan rakan artis yang rapat. (Gambar kapanlagi.com)

Pengurus kepada penyanyi Bunga Citra Lestari atau BCL, Doddy menyatakan keadaan kesihatan Allahyarham Ashraf sangat sihat berbanding mereka yang berada di sekelilingnya.

Doddy menerusi satu rakaman video bersama media Indonesia berkata, dia berharap semua pihak mendoakan supaya segala urusan berjalan lancar.

“Semoga arwah diterima, dilapangkan dan pemergian Ashraf sebagai Husnul Khatimah. Saya juga memohon doa semua supaya segala urusan hari ini berjalan lancar. Kita doakan yang masih tinggal ini diberi kekuatan untuk meneruskan hidup.

Bendera kuning turut dinaikkan sebagai memberitahu ada kematian dan dikawal rapi oleh pihak keselamatan. (Gambar kapanlagi.com)

“Insya-Allah jika mengikut perancangan jenazah akan dikebumikan hari ini namun kami masih menanti ketibaan keluarga Ashraf dari Malaysia,” katanya.

Menurut Doddy, buat masa ini dia tidak dapat berkongsi mengenai keadaan BCL, namun mendoakan yang terbaik buat dirinya.

“Anda lihat sendiri saja nanti. Sekarang saya tak boleh nak jawab secara terperinci. Teman-teman juga tahu hubungan akrab BCL dan Ashraf, jadi saya harap anda semua faham dan doakan.

“Insya-Allah selepas selesai urusan pengebumian pasti akan ada kenyataan rasmi namun buat masa ini beri kami ruang untuk urusan memandikan jenazah sehingga dikebumikan,” katanya.

Sementara itu, difahamkan Aishah Sinclair ketika mendapat berita kematian abangnya selepas dihubungi ibunya sudah berada di konti radio Mix FM untuk memulakan tugasnya pada jam 6 pagi.

Aishah dimaklumkan Ashraf meninggal dunia pada 4.51 pagi ketika sedang tidur di Hospital MMC, Jakarta.

Pemergian pelakon tanah air itu turut mendapat perhatian pemimpin negara yang mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.

Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail merakamkan ucapan takziah kepada keluarga pelakon tanah air yang mencipta nama di Indonesia itu.

“Takziah buat keluarga Allahyarham Ashraf Sinclair yang kembali ke Rahmatullah hari ini.

Twitter Dr Wan Azizah yang turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Ashraf.

“Semoga keluarganya tabah menghadapi dugaan ini dan semoga roh Allahyarham ditempatkan dikalangan mereka yang beriman,” katanya menerusi catatan di Twitter, hari ini.

Rata-rata rakan artis di Malaysia merakamkan ucapan takziah di posting terakhir Ashraf di Instagram.

Malah pemergian Ashraf juga dirasai rakan-rakan yang rapat dengan dirinya ketika berlakon dalam filem Gol & Gincu suatu ketika dulu.

“Semoga dipermudah semua urusannya, semoga dikuatkan keluarganya. Still can’t believe this is happening,” tulis pelakon Dian Sastrowardoyo melalui akaun Instagram @therealdisastr.

Begitu juga di laman Instagram BCL, di mana ramai rakan artis menyampaikan ucapan takziah.

Ashraf berkahwin dengan BCL pada 8 November 2008 di Masjid Al Bina Senayan, Jakarta.

Ashraf Sinclair kemudian meneruskan kariernya di Indonesia dan popular menerusi filem komedi romantis, Saus Kacang, pada 2008 dan beberapa siri sinetron (drama bersiri).

Perkahwinannya dengan BCL dikurniakan seorang anak lelaki yang kini berusia 10 tahun, Noah Aidan Sinclair.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]