Dr M pertahan keputusan TH pindah milik 4 hotel kepada MOF

TH mengumumkan operasi 4 rangkaian hotel miliknya dipindah milik kepada UJPM mulai April ini. (Gambar thhotels.com.my)

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mempertahankan keputusan Tabung Haji (TH) pindah milik operasi dan perkhidmatan rangkaian hotel TH Hotel & Residence Sdn Bhd (THHR) kepada anak syarikat milik Kementerian Kewangan.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas mendapati beberapa hartanah milik TH tidak memberi keuntungan kepada agensi berkenaan.

“Maka mereka perlu melupuskannya. Namun, ada beberapa cara lain untuk melabur duit berkenaan supaya memberi pulangan,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Bulan Antidadah Kebangsaan 2020 di Puspanitari, Putrajaya.

Terdahulu, TH mengumumkan operasi 4 rangkaian hotel miliknya dipindah milik kepada Urusharta Jamaah Property Management Sdn Bhd (UJPM) mulai April ini.

TH berkata pengambilalihan operasi dan perkhidmatan rangkaian hotel oleh UJPM merupakan sebahagian daripada pelan pemulihan semula dan penstrukturan institusi tesebut.

Jelasnya, langkah itu diambil bagi memenuhi mandat yang diberikan untuk mengurangkan komitmen kerajaan.

Empat hotel THHR yang terlibat adalah di TH Hotel Kota Kinabalu, TH Hotel Pulau Pinang, TH Hotel & Convention Centre Alor Setar dan TH Hotel & Convention Centre Terengganu.

Pinda hukuman mati kes dadah

Mengulas lanjut, Mahathir berkata kerajaan sedang mengkaji untuk meminda undang-undang berkaitan dadah yang menurutnya hukuman sedia ada iaitu hukuman mati terlalu keras terhadap pesalahnya.

“Banyak yang berpendapat ia tidak berkesan, masih ada mereka yang mencari duit yang tidak halal dengan mengedar dadah. Kita akan kaji sama ada dakwaan ini betul atau tidak.

“Kita dapati ada cara lain dalam undang-undang yang boleh mencegah penyalahgunaan dadah, atau pengedaran dadah, maka kita akan pinda undang-undang,” katanya.

Jelasnya, hakim mahkamah ketika ini tidak mempunyai pilihan lain selain menjatuhkan hukuman mati mandatori terhadap pesalah berkaitan dadah. Menurutnya, hukuman penjara seumur hidup antara pilihan bagi menggantikan hukuman berkenaan.

“Sekarang ini hukuman mati mandatori, iaitu hakim tidak ada hak menjatuhkan hukuman yang lain, dia mesti jatuhkan hukuman mati.

“Tetapi ada yang berpendapat, hukuman mati itu terlalu keras. Sebab itu kita perlu pinda, mungkin untuk penjara seumur hidup,” katanya.