G25 buat laporan polis terhadap Hadi esok

Hadi Awang.

PETALING JAYA: Kumpulan bekas penjawat awam kanan, G25 akan membuat laporan polis terhadap Abdul Hadi Awang esok berhubung kenyataan presiden PAS itu, yang pernah mengatakan mereka lebih bahaya daripada militan Al Maunah.

Setiausaha Eksekutif Jasmin Zulkifli dalam satu pemberitahuan hari ini memaklumkan G25 akan ke Balai Polis Dang Wangi pada pagi esok “atas kenyataan yang dibuat terhadap kumpulan itu oleh Hadi”.

G25 menjadi sasaran presiden parti Melayu-Islam terbesar itu susulan penerbitan laporan “Administration of Matters Pertaining to Islam” oleh kumpulan itu pada 11 Jan lalu, untuk menangani isu-isu berkaitan pentadbiran Islam, terutama untuk mencerahkan undang-undang kurang jelas yang memberi kesan dalam penerapan syariat dalam dasar pentadbiran awam.

Laporan itu menarik perhatian kepada isu undang-undang menghukum murtad yang menurutnya tidak konsisten dengan Perlembagaan, penubuhan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Majlis Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) yang dikatakan tidak mengikut Perlembagaan, dan penubuhan Majlis Tanah Negara walaupun tanah bawah bidang kuasa negeri, dan mencadangkan pindaan-pindaan berkaitan.

Hadi bagaimanapun membidas G25 dan pengikutnya lebih berbahaya daripada Al Maunah dan memberi ancaman kepada akidah umat Islam kerana pemikiran mereka tidak berpandukan syariat daripada ajaran dan kitab suci agama itu.

Presiden PAS itu kesal pihak berkuasa membiarkan perbincangan oleh kumpulan yang “bodoh dan bebal” berhubung hal ehwal Islam, dan perbincangan mengenai Islam tidak boleh dibiarkan kepada kumpulan itu, yang disifatkan sebagai “makhluk perosak”.