Ketua PH Sarawak dibidas sokong Anwar jadi PM

Chong Chieng Jen (kanan) bersama Anwar Ibrahim pada sambutan Tahun Baru Cina anjuran PH Sarawak pada 1 Feb lalu. (Gambar Bernama)

KUCHING: Pengerusi Pakatan Harapan Sarawak, Chong Chieng Jen dikritik selepas berkata perkara utama dalam agenda pembangkang negeri itu ialah melihat Anwar Ibrahim menjadi pengganti Dr Mahathir Mohamad.

Setiausaha Agung Pemuda Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Milton Foo berkata, kenyataan Chong itu menunjukkan perjuangan utama PH Sarawak bukannya hak atau kepentingan orang Sarawak.

Chong yang juga timbalan menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna, membuat kenyataan itu dalam majlis sambutan Tahun Baru Cina PH Sarawak pada awal bulan ini.

“Kita telah berjanji bahawa Datuk Seri (Anwar) akan menjadi perdana menteri ke-8 dan itu adalah agenda kita dan persetujuan kita serta hala tuju yang harus kita capai.

“Sebab itu kita jemput beliau datang hari ini pada majlis sambutan Tahun Baru Cina untuk menunjukkan sokongan kepada beliau dan berpegang kepada janji kita sebelum ini,” kata Chong pada 1 Feb lalu.

Foo memberitahu FMT, beliau percaya orang Sarawak kini nampak belang Sarawak PH.

Katanya, kenyataan Chong itu membatalkan janji pembangkang negeri kepada penduduk Sarawak.

Sementara itu, Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, Chong mendedahkan dirinya ialah oportunis.

“Mengetahui Anwar mungkin menjadi perdana menteri seterusnya, beliau mula menunjukkan sokongannya kepada Anwar secara terbuka.

“Chong mungkin berharap beliau akan dilantik sebagai menteri jika Anwar menjadi perdana menteri seterusnya.”

Sementara itu, Karim berkata, tiada keperluan mengadakan pilihan raya negeri (PRN) tergesa-gesa susulan kenyataan seorang menteri muda yang tahun ini ialah masa terbaik untuk mengadakan pilihan raya.

Katanya, Sarawak stabil dari segi politik dan tidak perlu mengadakan PRN tahun ini.

Penggal Dewan Undangan Negeri Sarawak akan berakhir Jun tahun depan dan PRN perlu diadakan dalam 90 hari.

Bagaimanapun, ketua menteri mempunyai prerogatif untuk mengadakan PRN lebih awal.

Menteri muda Abdul Rahman Junaidi baru-baru ini dilaporkan berkata, beliau yakin PRN akan diadakan selepas sambutan Aidilfitri dan Gawai pada lewat Mei serta awal Jun.