Lebih 1,800 kematian Covid-19 di China

Kakitangan perubatan merawat seorang pesakit baru Covid-19 di sebuah hospital di Wuhan, wilayah Hubei, China. (Gambar AP)

BEIJING: Sebanyak 93 kematian dicatatkan di wilayah Hubei, menjadikan keseluruhan 1,863 pesakit meninggal dunia akibat Covid-19 di China setakat ini.

Suruhanjaya Kesihatan Hubei turut melaporkan 1,807 kes jangkitan baru, jumlah lebih rendah berbanding semalam.

Ini menjadikan lebih 72,300 pesakit dijangkiti virus itu di seluruh China, kebanyakannya di Hubei yang paling teruk terjejas akibat penularan wabak itu.

Jumlah kes jangkitan baru di luar Hubei berkurangan dan pihak berkuasa kesihatan China menyatakan ia adalah tanda penularan wabak itu di bawah kawalan.

Bagaimanapun, Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, aliran itu “perlu ditafsir dengan sangat berhati-hati”.

“Trend boleh berubah apabila populasi baru terjejas. Terlalu awal untuk kata jika penurunan yang dilaporkan akan berterusan. Setiap senario masih dipertimbangkan,” katanya semalam.