PAC Sabah panggil 7 kementerian, agensi berhubung isu belum selesai

Pengerusi PAC Sabah, Abidin Madingkir (6 dari kiri) dan anggota PAC Sabah ketika mengadakan mesyuarat di Kota Kinabalu, hari ini.

KOTA KINABALU: Sebanyak 7 kementerian dan agensi negeri dipanggil Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam (PAC) Sabah untuk memberi keterangan berhubung isu yang belum selesai dalam Laporan Ketua Audit Negara 2018.

Antara yang dipanggil ialah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Sabah yang hanya mendapat penarafan 1 bintang berhubung indeks akauntabiliti, pencapaian terburuk dalam laporan itu.

Pengerusi PAC Sabah, Abidin Madingkir hari ini entiti itu dipanggil untuk memberi keterangan mengenai indeks akauntabiliti pengurusan kewangan.

Selain kementerian pertanian, Pejabat Daerah Putatan dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah juga tidak memuaskan dengan penarafan 2 bintang.

Laporan Ketua Audit menyatakan antara isu-isu yang tidak dapat diselesaikan di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan adalah kutipan sewa, berjumlah RM320,306, dari premis Wisma Pertanian yang tidak dikira dari 2015 hingga 2018.

Laporan itu juga menyatakan premis disewa tanpa sebarang perjanjian sewa atau kelulusan Kementerian Kewangan negeri.

Kementerian itu juga gagal mengimbangi akaun yang berkaitan dengan peruntukan RM9.35 juta daripada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk 19 program.

Sementara itu, Abidin berkata Jabatan Hal Ehwal Agama Islam gagal memberi keterangan isu yang tidak dapat diselesaikan dalam laporan itu.

“Kami akan memanggil mereka sekali lagi dalam mesyuarat PAC seterusnya. Mereka gagal memberikan keterangan yang diperlukan untuk menjelaskan isu-isu walaupun mereka diberikan 1 minggu untuk mengumpulkan bukti,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa PAC yang terdiri daripada 13 anggota.

Ini adalah mesyuarat pertama PAC Sabah yang diadakan pada 2020.

Madingkir berkata Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah menghantar pegawai baru dan bukan pegawai utama untuk mewakilinya untuk menjelaskan percanggahan tertentu dan, dengan itu, PAC akan memanggilnya sekali lagi dalam mesyuarat seterusnya.

Entiti lain yang dipanggil ialah Jabatan Perikanan Sabah, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Hidupan Liar, Jabatan Keretapi Negeri Sabah, Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah.

Madingkir berkata PAC Sabah akan terus memanggil mana-mana kementerian, jabatan atau agensi yang gagal menjelaskan isu-isu tersebut dengan memuaskan atau tidak membuat penambahbaikan yang diperlukan.

“Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan keterangan yang diberikan oleh mereka, tetapi mereka perlu memperbaiki supaya tidak ada pengulangan isu-isu tersebut. Kami akan terus memantau mereka semua dan memastikan tindakan diambil untuk menyelesaikan isu-isu tersebut. Sekiranya perlu, kami juga akan turun padang untuk memastikan mereka memperbaiki masalah ini,” katanya.