Penumpang asing Westerdam dilarang ke Thailand

Westerdam yang membawa 2,257 penumpang dan kru berlabuh di Pelabuhan Sihanoukville, Kemboja Khamis lalu. (Gambar AP)

BANGKOK: Thailand melarang penumpang rakyat asing kapal persiaran MS Westerdam yang berlabuh di Kemboja minggu lalu memasuki negara itu, selepas seorang rakyat Amerika Syarikat disahkan positif Covid-19 di Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kesihatan Awam, Anutin Charnvirakul berkata, penumpang Westerdam tidak dibenarkan ke Thailand atau mengambil penerbangan transit di negara itu sehinggalah tempoh kuarantin 14 hari mulai 14 Feb lalu berakhir.

“Kami tidak mahu meletakkan penumpang lain dalam keadaan berisiko dijangkiti virus itu di lapangan terbang atau semasa penerbangan.

“Oleh itu, semua syarikat penerbangan mesti bertanggungjawab (tidak menerbangkan penumpang kapal persiaran itu ke Thailand),” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Covid-19 semalam.

Ketua Pengarah Jabatan Kawalan Penyakit, Dr Sophon Iamsirithavorn berkata, 19 kru dan 2 penumpang kapal itu, dibenarkan pulang ke negara tersebut.

“Mereka akan menjalani tapisan intensif semasa memasuki Thailand dan dikuarantin selama 14 hari.”

Westerdam yang membawa 2,257 penumpang dan kru berlabuh di Pelabuhan Sihanoukville, Kemboja Khamis lalu. Setakat ini, 747 kru dan 233 penumpang sedang menunggu untuk meneruskan perjalanan terakhir mereka.

Sementara itu, Thailand melaporkan satu kes jangkitan baru Covid-19, menjadikan keseluruhannya 35 orang setakat ini.

Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan Awam, Sukhum Kanchanapimai berkata, wanita China berusia 68 tahun itu mempunyai hubungan rapat dengan pesakit yang diuji positif.

“Wanita itu diletakkan di bawah pengawasan selepas ahli keluarganya diuji positif bagi Covid-19.

“Dia menunjukkan gejala jangkitan Covid-19 dan dimasukkan ke sebuah hospital. Dia diuji positif bagi virus itu dan merupakan kes ke-4 yang disahkan dalam keluarga tersebut,” katanya dalam sidang media semalam.

Sehingga kini, terdapat 35 kes Covid-19 yang disahkan di Thailand dengan 15 daripadanya sembuh dan dibenarkan pulang, manakala 20 lagi masih menerima rawatan.