Hong Kong catat kematian ke-2 akibat Covid-19

Seorang lelaki melalui papan elektronik menunjukkan indeks saham Hong Kong di luar sebuah bank pada Rabu. (Gambar AP)

HONG KONG: Pihak berkuasa Hong Kong mengumumkan kematian ke-2 wabak Covid-19 membabitkan seorang warga emas.

“Seorang pesakit lelaki berusia 70 tahun yang dijangkiti koronavirus novel meninggal dunia di Hospital Puteri Margaret pagi ini,” kata Pihak Berkuasa Hospital dalam satu kenyataan.

Pegawai berkata, lelaki itu dibawa ke hospital pada 12 Feb lalu selepas terjatuh di rumahnya.

Beliau mengalami demam dan disahkan positif virus itu sebelum meninggal dunia seminggu kemudian.

Di China, Covid-19 meragut 2,000 nyawa dan menyebabkan 74,000 orang jatuh sakit.

Hong Kong mencatatkan 62 kes positif Covid-19 dengan 2 daripadanya meninggal dunia.

Pada mulanya, virus itu dikesan dalam kalangan individu yang pernah berkunjung ke wilayah Hubei di China yang paling teruk terjejas akibat wabak berkenaan.

Tetapi, sejak beberapa minggu ini, jangkitan tempatan bertambah dalam kalangan penduduk yang tidak pernah melawat China.

Dalam tempoh 2 minggu ini, Hong Kong berdepan gelombang pembelian panik dengan pasar raya kehabisan bekalan barang keperluan seperti beras, kertas tandas dan cecair pembasmi kuman.

Pihak berkuasa berkata, bekalan barang kekal stabil dan pembelian panik ialah punca berlaku kekurangan barang.

Bekalan topeng hidung dan mulut masih berkurangan dengan orang ramai terpaksa beratur panjang sebaik saja farmasi atau kedai mengumumkan ketibaan stok baru.