Lebih banyak persoalan mySalam akan dibangkit, Wee beritahu Tony Pua

Presiden MCA Wee Ka Siong dan Setiausaha Politik Lim Guan Eng, Tony Pua.

PETALING JAYA: Presiden MCA Wee Ka Siong berkata beliau mempunyai banyak persoalan mengenai skim perlindungan kesihatan mySalam untuk ditanyakan kepada Setiausaha Politik menteri kewangan, Tony Pua.

“Saya akan bangkitkan tidak lama lagi. Harap jangan lari, sila jawab. Tunggu,” kata menerusi Facebook.

Wee sekali lagi menegaskan kerajaan perlu menyelesaikan masalah skim perlindungan kesihatan mySalam dalam kalangan B40 sebelum diperluaskan kepada M40.

Katanya, sehingga kini masih tiada maklum balas mengenai bayaran untuk mendapatkan laporan perubatan walaupun pihaknya sudah memberikan bukti.

“Saya pernah mendapat aduan daripada pengundi-pengundi di kawasan saya, Parlimen Ayer Hitam yang mengadu betapa susahnya nak tuntut bayaran mySalam.

“..dan pesakit terpaksa berulang-alik ke hospital bagi mendapatkan laporan perubatan serta dicaj sebanyak RM40,” katanya.

Hari ini, Tony berkata spekulasi yang dibangkitkan oleh Wee berhubung skim tersebut adalah tidak benar.

Katanya, Wee membangkitkan kembali kes berkaitan tuntutan lama yang dilaporkan oleh media tahun lalu, sedangkan hal berkaitan telah pun dijelaskan secara terperinci oleh pengerusi Lembaga Pemegang Amanah mySalam pada 6 Nov 2019.

Sebelum ini, Wee mempersoalkan bagaimana kerajaan boleh memperluaskan mySalam kepada golongan M40 tanpa sebarang peruntukan tambahan.

Beliau berkata jika golongan berpendapatan rendah (B40) tak dapat dijaga dengan baik, tiada guna mySalam diperluaskan kepada M40.