Mesyuarat khas menteri luar Asean-China bincang Covid-19 esok

(Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Menteri-menteri luar Asean dan China akan bertukar pandangan mengenai kerjasama dalam menangani penularan wabak COVID-19 dalam satu mesyuarat khas di Vientiane, Laos esok.

Wisma Putra dalam kenyataan hari ini berkata, delegasi Malaysia ke Mesyuarat Khas Menteri-menteri Luar Asean-China itu akan diketuai Menteri Saifuddin Abdullah.

Beliau akan diiringi pegawai-pegawai kanan Kementerian Luar Negeri dan Kementerian Kesihatan.

Semua menteri luar Asean dan Menteri Luar China, Wang Yi dijangka hadir ke mesyuarat itu, menurut kenyataan.

Sebelum ini, Saifuddin dilaporkan berkata mesyuarat ini bakal memperlihatkan solidariti Asean dengan China dalam menangani isu wabak itu.