Tiada bukti sokong teori ‘bunuh beramai-ramai’ bekas PM Australia, kata KPN

Ketua Polis Negara, Abdul Hamid ketika sidang media di Pulapor hari ini.

KUALA LUMPUR: Tiada bukti menyokong teori juruterbang pesawat MH370 mungkin melakukan pembunuhan beramai-ramai seperti yang didedahkan bekas perdana menteri Australia, Tony Abbott.

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata perkara itu berdasarkan siasatan yang dilakukan pihaknya dengan mengambil kira pelbagai sudut susulan kehilangan misteri pesawat tersebut.

Katanya, selagi rangka kapal terbang itu tidak ditemui, punca sebenar kehilangan MH370 tidak boleh dimuktamadkan.

“Ia masalahnya sekarang, kita tidak jumpa rangka kapal terbang itu, kita tidak dapat menemui manusia yang terlibat atau mereka yang menjadi penumpang kapal terbang itu.

“Saya tidak tahu siapa pegawai tertinggi Malaysia yang Abbott maksudkan itu, tapi pihak kita sewaktu itu saya pun terlibat dalam siasatan kehilangan MH370.

“Kita menyiasat di seluruh sudut baik dari segi keganasan, hijack oleh pihak tertentu, macam-macam teori dengan menggunakan teknologi canggih, jadi banyak fakta telah terkumpul,” katanya selepas menghadiri Majlis Penyerahan dan Perasmian Projek Penggantian Lif di Pusat Latihan Polis (Pulapor) hari ini.

Terdahulu media melaporkan, Abbott sebagai berkata pegawai “berpangkat tertinggi” Malaysia memberitahunya juruterbang pesawat MH370 mungkin melakukan pembunuhan beramai-ramai, menjelang ulang tahun ke-6 kehilangan pesawat itu, bulan depan.

“Pemahaman saya – pemahaman saya yang amat jelas – daripada peringkat tertinggi kerajaan Malaysia ialah sejak awal lagi mereka menganggap ia ialah pembunuhan-bunuh diri oleh juruterbang,” kata Abbott yang menjadi perdana menteri ketika pesawat hilang 6 tahun lalu, kepada dokumentari Sky News yang baru.

Abbott dalam wawancara itu enggan mendedahkan identiti pegawai Malaysia terbabit.

“Saya tidak akan beritahu siapa cakap apa kepada siapa. Tetapi, biar saya ulangi – Saya mahu terangkan – ia difahamkan di peringkat tertinggi yang ini hampir pasti (kes) pembunuhan dan bunuh diri oleh juruterbang. Pembunuhan beramai-ramai dan bunuh diri oleh juruterbang,” katanya.

Tetapi, Abbott berkata, beliau tidak mengesyaki ada konspirasi untuk menyembunyikan dakwaan rancangan pembunuhan oleh juruterbang itu, tetapi menyokong sebarang langkah membuka semula siasatan.

Mengulas lanjut, Hamid berkata Abbott berhak menyatakan pendiriannya berdasar maklumat yang diterima kepada media.

“Saya beri hak kepada beliau sebagai perdana menteri waktu itu, kalau beliau nak kongsi kepada media, apa yang dibualkan dengan pegawai atasan Malaysia itu terpulang kepada beliau.

“Saya di pihak polis tidak boleh memberi apa-apa komen selagi tidak ditemui (pesawat) berdasarkan undang-undang,” katanya.

Hamid berkata pihaknya bersedia membuka semula kertas siasatan jika rangka pesawat itu ditemui.

Penerbangan Malaysia Airlines yang dalam perjalanan ke Beijing dengan membawa 239 penumpang dan kru itu hilang kira-kira 40 minit selepas meninggalkan Kuala Lumpur pada 8 Mac 2014.

Kehilangan pesawat itu dianggap satu daripada misteri terbesar penerbangan, serta ia berakhir dengan misi mencari dan menyelamat paling lama serta mahal dalam sejarah.

Timbul beberapa teori konspirasi berhubung kehilangan MH370, termasuk juruterbang kanannya yang berusia 53 tahun, Zaharie Ahmad Shah sengaja melencongkan pesawat itu daripada laluan biasa selepas kata-kata terakhirnya “Selamat malam. Malaysian 3-7-0” sebelum pesawat itu hilang daripada radar pada 1.21 pagi.

Teori “juruterbang jahat” bagaimanapun ditepis rakan Zaharie dan juruterbang lain.