Polis akan ambil tindakan individu gari, viral gambar kanak-kanak Palauh

Foto tular menunjukkan kanak-kanak lelaki digari dan memegang pistol mainan. (Gambar Facebook)

KOTA KINABALU: Polis berjanji akan mengambil tindakan terhadap kakitangan mereka yang didapati bertanggungjawab menggari kanak-kanak lelaki Palauh (Bajau laut) yang ditahan bersama beberapa individu lain di Lahad Datu, Sabah, hari ini.

Kanak-kanak itu ditahan bersama 4 wanita dan 10 kanak-kanak lain, semuanya dari komuniti Palauh, selepas gambar seorang kanak-kanak lelaki tanpa baju meminta duit dengan “pistol” di tangannya tersebar di media sosial awal hari ini.

Dalam gambar itu, kanak-kanak itu dilihat berdiri di sebelah kereta di persimpangan lampu isyarat dengan memegang pistol, yang kemudiannya didapati ia adalah pistol mainan, sementara seorang wanita yang mendukung bayi dilihat berdiri di pembahagi jalan.

Selain gambar ini, satu lagi gambar kanak-kanak itu dengan tangan bergari dan memegang pistol mainan di tangan kirinya juga dikongsi secara meluas di media sosial, termasuk WhatsApp.

Ketua Polis Lahad Datu, Nasri Mansor berkata pihaknya akan menyiasat individu di sebalik perlakuan menggari kanak-kanak tersebut.

“Tindakan sedemikian tidak betul. Kami akan menyiasat siapa yang melakukannya dan siapa yang menyebarkan foto itu dan mengambil tindakan tegas terhadap individu itu, tanpa mengira sama ada dia anggota polis biasa atau pegawai,” katanya kepada FMT.

Foto menunjukkan kanak-kanak lelaki tanpa baju memegang pistol mainan ketika dia meminta sedekah di Lahad Datu. (Gambar Facebook)

Seksyen 83A Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) menyatakan kanak-kanak yang ditahan tidak akan digari kecuali kesalahannya adalah jenayah berat; atau kanak-kanak itu secara paksa mengelak daripada ditahan atau cuba mengelak daripada ditahan.

Di bawah akta yang sama, media tidak dibenarkan melaporkan dan menerbitkan, dalam media cetak atau elektronik, nama, alamat, institusi pendidikan atau memasukkan apa-apa butir-butir, termasuk gambar yang membolehkan dikenal pasti mana-mana kanak-kanak yang terlibat.

Sementara itu, Nasri berkata wanita dan kanak-kanak, termasuk 6 gadis, ditahan susulan insiden di persimpangan jalan di Taman Aman Jaya di Bandar Sri Perdana pada jam 10.30 pagi hari ini.

“Mengikuti foto yang viral di Facebook, kami menghantar pasukan polis ke kawasan itu. Polis memperkenalkan diri kepada wanita dan kanak-kanak tersebut, dan melakukan pemeriksaan.

“Mereka, yang berumur antara 6 bulan dan 31 tahun, didapati tiada dokumen pengenalan atau dokumen sah untuk tinggal di Sabah,” katanya.

Berdasarkan siasatan mereka, beliau berkata wanita dan kanak-kanak itu meminta sedekah di kawasan tersebut.

“Pistol mainan yang dipegang kanak-kanak itu dibeli oleh ibu. Ia bertujuan untuk bermain dengan kanak-kanak lain,” kata Nasri.

Beliau berkata mereka yang ditahan dibawa ke balai polis daerah untuk siasatan lanjut dan tindakan boleh diambil di bawah undang-undang imigresen.

Beliau berkata pihak polis meminta bantuan Jabatan Imigresen untuk menyemak maklumat mereka.

Palauh adalah komuniti Bajau Laut yang berpindah-randah, yang sebahagian besarnya tidak mempunyai kerakyatan. Mereka hidup terutamanya di atas rumah rakit di perairan Lahad Datu dan daerah lain di pantai timur Sabah.