Suka makan pakai tangan? Jangan pelik ini mungkin punca naik berat badan

Makan menggunakan tangan akan menambahkan selera kerana dapat merasa tekstur makanan itu berbanding sudu.

Jika anda suka makan pakai sudu dan garpu, anda kehilangan satu nikmat dunia.

Ini kerana makan pakai tangan dapat memberikan kenikmatan yang tidak terhingga, namun menurut satu kajian, ia juga boleh mempengaruhi berat badan individu.

Makan pakai tangan lebih memuaskan

Jika anda menganggap tabiat makan pakai tangan ini tidak mempunyai penjelasan sains di sebaliknya, anda silap.

Menurut kajian yang dijalankan di Universiti Steven, New York, kesedapan sesuatu makanan bukan sahaja dipengaruhi oleh kawalan diet individu malah cara mereka mengambil makanan tersebut (tangan atau sudu).

Ini bermakna, mereka yang mengamalkan pemakanan sihat dan makan pakai tangan boleh menikmati makanan mereka lebih daripada individu lain.

Kajian tersebut mempunyai 3 fasa. Fasa pertama melibatkan kajian berkaitan dengan keju Muenster yang diambil oleh 45 subjek.

Mereka diarahkan untuk melihat, memegang dan makan keju tersebut.

Subjek kajian tersebut dibahagikan kepada 2 kumpulan. 1 kumpulan akan makan keju tersebut menggunakan tangan dan 1 lagi akan menggunakan penyepit.

Dapatan menunjukkan bahawa mereka yang mengamalkan gaya pemakanan seimbang lebih menikmati makanan mereka berbanding subjek yang tidak menjaga tabiat pemakanan walaupun kedua-duanya makan pakai tangan.

Perkara ini menunjukkan bahawa, aspek penjagaan makanan penting bagi seseorang individu untuk lebih menikmati makanan yang dimakan.

Makan pakai sudu boleh sebabkan paras gula dalam darah tinggi

Mereka yang makan pakai sudu cenderung untuk makan lebih laju berbanding dengan individu yang makan pakai tangan.

Perkara ini boleh menyebabkan pengambilan kalori berlebihan dalam kalangan mereka yang makan pakai sudu.

Lebihan kalori tersebut boleh bertukar menjadi lemak badan dan menyebabkan kenaikan berat badan.

Dalam jangka masa panjang, mereka yang menggunakan sudu berisiko untuk mendapat penyakit kencing manis.

Ketidakstabilan paras gula dalam darah bagi mereka yang makan laju boleh menyebabkan masalah kerintangan insulin.

Seperti sedia maklum, ini (rintang insulin) adalah antara mekanisme berlakunya masalah kencing manis.

Dalam situasi tersebut, darah mempunyai jumlah insulin yang cukup, namun, disebabkan oleh reseptor insulin yang berada pada permukaan sel berkurangan, ia menghalang kemasukan gula ke dalam sel.

Bagaimana pula dengan individu yang makan pakai tangan? Individu yang makan pakai tangan lebih sedar dengan jumlah pengambilan makanan mereka.

Ia melibatkan interaksi di antara sentuhan fizikal dan deria saraf di otak.

Ini bermakna, dengan hanya menyentuh makanan, otak boleh mendapat gambaran berkaitan dengan tahap kesedapan makanan tersebut.

Oleh sebab itu, mereka yang makan pakai tangan cenderung untuk makan dengan lebih perlahan. Terutamanya jika makanan tersebut sedap.

Tapi makan pakai tangan punca berat badan naik…

Fasa ke 3 kajian yang dijalankan oleh Universiti Steven melibatkan 77 individu. Setiap subjek diberikan 15 kiub keju.

Semasa mereka mengisi borang kajian, subjek dibenarkan untuk makan sebanyak mana keju yang mereka ingini.

Dapatan kajian tersebut menunjukkan bahawa individu yang makan pakai tangan dan mengamalkan diet yang sihat makan lebih banyak keju (purata 7 keju) berbanding dengan mereka yang menggunakan garpu (purata 4 keju).

Mereka yang tidak mengamalkan diet seimbang juga diuji dan mereka yang makan pakai sudu mengambil lebih banyak keju (purata 6 keju) berbanding dengan mereka yang makan menggunakan tangan (purata 4 keju).

Perkara ini menunjukkan dapatan yang berbeza dengan kajian-kajian yang pernah dijalankan sebelum ini.

Walaupun makan menggunakan tangan boleh membuatkan anda lebih peka dengan rasa makanan, ia juga boleh menyebabkan pengambilan lebihan kalori terutamanya jika makanan itu sedap.

Menurut Profesor Adriana Madzharov, salah seorang daripada pengkaji, sentuhan makanan individu yang mengamalkan gaya pemakanan sihat lebih sensitif berbanding dengan mereka yang tidak mengamalkan diet yang sihat.

Ini bermakna, makanan tersebut lebih sedap dimakan oleh mereka.

Peningkatan pada jumlah pengambilan kalori tersebut boleh menyebabkan masalah kenaikan berat badan.

Namun, jika pengamalan diet sihat sebelum ini melibatkan disiplin yang ketat, individu tersebut cenderung untuk mengawal pengambilan jumlah kalori harian.

Dengan kata lain, sama ada seseorang itu akan makan berlebihan, bergantung kepada disiplin mereka terhadap tabiat pemakanan.

Bagaimanapun, kajian lanjut perlu dilakukan bagi mengetahui kesan makan pakai tangan terhadap kenaikan berat badan.

Amalkan pemakanan seimbang, anda akan lebih menikmati makanan

Walaupun kajian ini menunjukkan kesan yang tidak diketahui umum, namun pengamalan pemakanan seimbang boleh memberikan kebaikan jangka masa panjang daripada sudut kesihatan individu.

Tidak kiralah, diet jenis apa sekalipun, jika ia terbukti berkesan oleh kajian sains, pengamalan diet seimbang boleh menjadikan anda lebih berdisiplin terhadap corak pemakanan anda.

Anda akan lebih gemarkan buah-buahan sebagai snek berbanding dengan makanan ringan yang memudaratkan.

Jadi apa sebenarnya konsep pemakanan sihat? Adakah anda perlu memilih pelan diet bagi mengamalkan corak pemakanan tertentu?

Amalan pemakanan sihat boleh memberikan maksud yang berbeza.

Ada individu yang menganggap ia berkaitan dengan konsep pengambilan kalori berpatutan dan ada juga yang percaya akan keseimbangan nutrisi makro dan mikro.

Walau apa cara sekalipun, pastikan pelan diet anda mengandungi nutrisi makro dan mikro pada sejumlah kalori mengikut keperluan semasa.

Jika anda ingin mengurangkan berat, kurangkan pengambilan 500 kalori dalam jumlah kalori harian.

Jika anda ingin menambah berat, lebihkan pengambilan 500 kalori dalam jumlah kalori harian.

Purata jumlah keperluan kalori normal bagi lelaki dan wanita berbeza.

Bagi lelaki, pengambilan 2,500 kalori sehari penting bagi mengekalkan berat sedia ada manakala wanita pula memerlukan 2,000 kalori.

Ingat, jika digandingkan gaya pemakanan sihat dan makan pakai tangan, anda akan lebih menikmati makanan anda.

Jika anda ingin lebih menikmati makanan anda, pastikan anda menjaga corak pemakanan anda dan makan pakai tangan.

Ia bukanlah suatu amalan asing dan telah diamalkan beribu tahun lamanya oleh populasi tertentu.

Kedua-dua perkara yang disebutkan boleh mengubah persepsi anda terhadap rasa makanan yang diambil.

Artikel ini diterbitkan di hellodoktor.com dan disemak Dr Duyen Le. Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]