Tiada bukti sains rasam mampu ubati Covid-19

Rasam boleh diamalkan tetapi jangan tolak nasihat doktor.

Rasam satu hidangan sup yang sememangnya terkenal dalam kalangan masyarakat India Selatan, namun tidak dinafikan ada juga masyarakat Melayu dan Cina yang meminati sup ini.

Ia juga dikenali sebagai “herbal consomme” atau “sup herba jernih”.

Seperti namanya, rasam campuran rempah herba dengan asas asam jawa atau kokam.

Namun ada sesetengah orang percaya rasam mempunyai nilai perubatan tradisional, dikatakan sesuai untuk merawat selesema, batuk, sejuk badan dan demam ringan.

Ia juga dikatakan baik untuk sistem penghadaman dan sesuai untuk mereka yang ingin kuruskan badan.

Begitu jugalah ada sesetengah pihak mendakwa rasam mampu menghalang daripada dijangkiti atau mengubati Covid-19.

Dr Shazril menolak pendapat rasam mampu mencegah jangkitan Covid-19.

Bagaimanapun dakwaan itu disangkal pengamal perubatan, Dr Shazril Shaharuddin yang berkata dalam dunia perubatan mereka tidak diajar mengenai kebaikan atau kelebihan asam jawa atau lada hitam.

“Kalau rasam ini dikatakan mampu merawat influenza, Covid-19 memang keterlaluan kenyataan itu kerana ia hanyalah sekadar amalan yang baik sekiranya tak sihat,” katanya kepada FMT.

“Tetapi untuk menggantikannya dengan ubat-ubatan yang sewajarnya dan untuk bergantung semata-mata dengan pendapat itu sangat berbahaya.”

Tambahnya seperti dakwaan sup ketam dan air daun betik boleh rawat demam denggi, ia sebenarnya salah sama sekali.

“Ketika demam denggi badan anda kebanyakannya ‘hydrated’ jadi rawatan daripada doktor sangat penting,” katanya.

Beliau menambah “petua” boleh digunakan sebagai tambahan kepada rawatan perubatan jika tidak ada sebarang mudarat.

“Hendak amalkan boleh tapi jangan sampai tolak terus nasihat doktor kerana ia salah dan merbahaya,” katanya.

Menurut seorang lagi doktor perubatan, Dr Lim Geng Yan, sehingga kini tiada bukti menunjukkan rasam mampu mengubati apa jua penyakit.

Namun katanya tidak salah jika mengamalkan namun perlulah disusuli dengan rawatan doktor jika keadaan semakin melarat.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]