Kes Yusoff Rawther-Farhash kecil, jangan politikkan, kata Anwar

Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata, mana-mana pihak tidak harus mempolitikkan kes melibatkan Muhammed Yusoff Rawther dengan setiausaha politik beliau Farhash Wafa kerana ia merupakan kes ‘kecil’.

KUALA LUMPUR: Presiden PKR, Anwar Ibrahim menggesa supaya kes melibatkan bekas pembantu penyelidiknya, Muhammed Yusoff Rawther dengan setiausaha politik beliau, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak yang dibuka semula siasatannya tidak dipolitikkan.

Beliau berkata biarlah polis yang membuat keputusan mengenainya, sekali gus menyifatkan kes itu kecil.

“Biarkan polis membuat keputusan itu. Terdapat banyak kes serius yang saya tahu. Jangan mempolitikkan kes kecil ini,” katanya pada satu acara di Bangsar hari ini.

Sebelum itu, polis memanggil Yusoff susulan arahan Jabatan Peguam Negara (AGC) supaya membuka semula siasatan ke atas satu laporan yang dibuat terhadap pembantu presiden PKR itu tahun lepas.

FMT difahamkan bahawa polis diminta mengemukakan kertas siasatan kepada AGC hari ini sebaik sahaja mereka selesai mengambil kenyataan Yusoff.

Difahamkan juga bahawa satu siasatan baru dijalankan ke atas setiausaha politik Anwar, Farhash di bawah Seksyen 506 dan 323 Kanun Keseksaan berkait kesalahan intimidasi jenayah dan menyebabkan kecederaan.

Sumber berkata, wujud “kebimbangan” bahawa tokoh politik tertentu mempengaruhi siasatan sebelum ini.

Perkembangan ini muncul hanya 3 minggu selepas Yusoff mempersoalkan ketiadaan tindakan polis berhubung laporan yang dibuatnya terhadap Farhash, yang juga merupakan pengerusi PKR Perak, tahun lepas.

Dalam laporan polisnya Mei tahun lepas, Yusoff berkata, Farhash menyerangnya di sebuah banglo yang digunakan oleh Anwar sebagai pejabatnya, sehingga menyebabkan kecederaan di bahu beliau.

Satu laporan perubatan daripada Hospital Pantai menyebut bahunya cedera dan terkoyak dan memerlukan pembedahan dengan kos RM40,000.

Farhash menafikan dakwaan itu.

Bulan lepas Yusoff berkata, beliau dimaklumkan oleh pegawai penyiasat kes berkenaan bahawa timbalan pendakwa raya (DPP) memutuskan tiada kes terhadap Farhash.

Yusoff memfailkan satu saman sivil terhadap Farhash pada September menuntut pampasan atas kecederaan yang dialaminya. Farhash juga memfailkan satu saman fitnah terhadap Yusoff.

Yusoff juga menuduh Anwar melakukan serangan seksual terhadapnya, tetapi AGC pada bulan lepas memutuskan tidak terdapat bukti yang mencukupi untuk mendakwa presiden PKR itu, yang dinamakan oleh Pakatan Harapan pengganti Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.

Pemimpin tertinggi gabungan politik itu dijangka mengumumkan tarikh peralihan kuasa tersebut esok.