MB: Tiada elemen hutan dara asas cadangan mansuh status Hutan Simpan Kuala Langat Utara

Menteri Besar Sealngor Amirudin Shari berkata, cadangan pemansuhan Hutan Simpan Kuala Langat Utara tidak akan mengurangkan jumlah hutan simpan di Selangor kerana ia akan diganti ke kawasan baru dengan tambahan keluasan lebih 121 hektar. (Gambar Bernama)

SHAH ALAM: Cadangan untuk memansuhkan status Hutan Simpan Kuala Langat Utara adalah disebabkan 40% kawasan itu tidak lagi mempunyai elemen hutan dara, selain mengelak aktiviti pembakaran hutan secara haram berulang.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata, cadangan itu bagaimanapun masih di peringkat awal dan masyarakat serta komuniti berkaitan boleh mengemukakan pandangan atau bantahan mengenainya kepada Jabatan Perhutanan Negeri Selangor sebelum 5 Mac ini.

“Sekarang kita baru pada proses kedua cadangan pemansuhan. Kita akan lalui semua proses (dalam carta alir pewartaan keluar hutan simpan kekal) terlebih dahulu. Sekiranya laporan teknikal ‘tidak baik’ kita akan nilai semula cadangan berkenaan.

“Setakat ini, kita sudah menerima lebih 2,000 bantahan terhadap cadangan itu, sebahagiannya hanyalah sentimen, tetapi saya gembira kerana ada kesedaran dalam kalangan masyarakat (mengenai isu ini),” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata cadangan itu juga tidak akan mengurangkan jumlah hutan simpan di Selangor kerana ia akan diganti ke kawasan baru dengan tambahan keluasan lebih 121 hektar daripada Hutan Simpan Kuala Langat Utara ketika ini.

Amirudin berkata setakat ini, Selangor mempunyai 70 hutan simpan yang diwartakan.

“Selaras dengan cadangan pemansuhan pewartaan tersebut, kita menyediakan 4 kawasan hutan yang kurang diteroka sebagai ganti kepada Hutan Simpan Kuala Langat Utara yang berkeluasan 931.17 hektar itu.

“Lokasi ini mempunyai ciri-ciri hutan paya gambut dan ekosistem yang lebih kurang sama dengan hutan simpan berkenaan.

“Sekiranya cadangan tersebut diluluskan, kita akan pilih 3 lokasi hutan berkenaan sebagai hutan simpan baru,” katanya.

Beliau berkata, 4 lokasi tersebut ialah kawasan hutan di Sungai Panjang, Sabak Bernam; Hutan Simpan Sabak Bernam; Hutan Simpan Taman Alam, Kuala Selangor dan hutan di Ampang Pecah, Ampang.

Mengulas dakwaan sesetengah pihak bahawa cadangan itu menjejaskan perkampungan Orang Asli, Amirudin menafikannya dan berkata kerajaan negeri telah mengeluarkan kawasan tersebut daripada hutan simpan berkenaan.

“Kita telah keluarkan 404 hektar tanah melibatkan 4 perkampungan Orang Asli dengan 1,000 penduduk daripada keluasan hutan simpan tersebut. Jadi, tidak benar dakwaan yang mengatakan kerajaan negeri mahu mengganggu-gugat masyarakat itu.

“Mungkin ada isu lain yang dibangkitkan, iaitu perkuburan lama Orang Asli Temuan di situ. Kita akan nilai semula hal ini selepas proses bantahan tamat, dan kalau boleh kita keluarkan kawasan itu (daripada hutan simpan), kita akan lakukan,” katanya.

Amirudin berkata, beliau menganggap tuduhan dan dakwaan pihak tertentu menerusi media massa berhubung cadangan itu sebagai separuh matang, terpesong dan tidak benar kerana kerajaan negeri tidak akan sekali-kali mengurangkan jumlah hutan simpan di Selangor.

Sebelum ini, Jabatan Perhutanan Selangor mengeluarkan notis cadangan bagi memansuhkan pewartaan status hutan simpan itu menerusi ruangan iklan di akhbar tempatan.

Perkara itu menimbulkan pelbagai reaksi daripada badan bukan kerajaan dan orang awam.