Niosh: Tiada bukti 100,000 bakal hilang pekerjaan akibat Covid-19

Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) sebelum ini meramalkan 100,000 bakal hilang pekerjaan di negara ini sekiranya penularan Covid-19 gagal dikawal. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Tiada laporan atau kajian berasas yang mengesahkan bahawa hampir 100,000 rakyat Malaysia bakal kehilangan pekerjaan sekiranya wabak Covid-19 berterusan sehingga hujung tahun ini.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (Niosh) Alice Lau Kiong Yieng berkata, isu itu tidak timbul memandangkan Malaysia sudah bersiap siaga dan mempunyai keupayaan dalam mengurus dan membendung penularan jangkitan Covid-19.

“Tiada isu hilang pekerjaan. Majikan perlu ambil inisiatif menyalurkan maklumat tepat kepada pekerja mengenai Covid-19 agar pekerja tidak panik.

“Persidangan tahunan Pertubuhan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Asia Pasifik (APOSHO) turut memainkan peranan, di mana ia akan membincangkan isu-isu semasa dalam kalangan peserta,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pra-Pelancaran Persidangan APOSHO35 di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas beberapa laporan sebelum ini yang memetik Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) meramalkan perkara itu sekiranya penularan Covid-19 gagal dikawal.

Senada dengan Lau, timbalan ketua setiausaha (Operasi) Kementerian Sumber Manusia Maniam Arumugam menyifatkan laporan itu sekadar ramalan yang tiada statistik tepat dan meminta agar orang ramai tidak mudah panik.

“Setakat ini tiada siapa yang melaporkan kepada kami. Apa yang anda dengar bukan cerita yang benar,” katanya.

Terdahulu, Lau dalam ucapannya berkata, APOSHO harus memainkan peranan penting dalam menangani Covid-19 dengan mengukuhkan dan menggunakan rangkaian serta kerjasama sedia ada bagi membantu kerajaan mereka menangani situasi baharu ini.

Persidangan APOSHO35 akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dari 9 hingga 12 Ogos tahun ini.

Bertemakan Perpaduan OSH (keselamatan dan kesihatan pekerjaan) dan Kemapanan, APOSHO35 menawarkan platform kepada golongan profesional, pembuat dasar dan pegawai kerajaan untuk bertukar idea, berkongsi pengalaman dan inisiatif dalam mengukuhkan kerjasama pada peringkat kebangsaan, serantau dan dunia.