Peniaga Uptown Danau Kota mahu namakan 2 pihak, termasuk YB, dalam laporan SPRM

Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas), Mohd Ridzuan Abdullah Ridzuan (tengah), pada sidang media berhadapan tapak sementara Bazaria Wangsa Maju, hari ini.

KUALA LUMPUR:Selepas gagal mendapat tempat di tapak baru, peniaga Uptown Danau Kota akan membawa isu tersebut kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM).

Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas), Mohd Ridzuan Abdullah yang mewakili 320 peniaga tapak lama berkata, keputusan itu dibuat apabila kos lebih RM2 juta untuk pembinaan tapak sementara Bazaria Wangsa Maju sangat meragukan selain mendakwa ia dibuat tanpa melalui tender terbuka.

Menerusi laporan SPRM itu pihaknya akan menamakan 2 pihak, termasuk seorang daripadanya individu bergelar YB.

“Jadi dalam isu ini, Ikhlas juga akan bawa dan heret perkara ini kepada SPRM. Biar SPRM siasat pemimpin yang terlibat.

“Jumlah projek tapak sementara lebih RM2 juta dan ia tidak melalui tander terbuka, malah syarikat yang membuat bancian (tapak) juga satu kepala dia dapat bayaran RM50 sebagai upah.

“Kalau 500 peniaga, bayangkanlah berapa dia dapat. Itu syarikat pemimpin parti politik kerajaan sedia ada. Itu sudah salah.Saya bukan nak main politik, saya nak bela rakyat dan peniaga,” katanya ketika sidang media di hadapan tapak sementara Bazaria Wangsa Maju bersama hampir 50 peniaga di sini, hari ini.

Beliau turut mendakwa tempat sementara itu juga tidak sesuai kerana ia dibuat di atas tapak loji rawatan kumbahan Indah Water Konsortium (IWK).

“Bila hujan ia menimbulkan masalah bau,” katanya.

Ridzuan turut memaklumkan pihaknya juga membuat aduan kepada Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad pada 4 Feb lalu.

Dalam perkembangan sama, Ridzuan juga berkata, rayuan peniaga yang tidak mendapat tapak di tempat baru ditolak pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Kami dimaklumkan, rayuan peniaga nak dapat tapak di tempat baru ditolak, kami sedang tunggu surat alasan kenapa ia ditolak,” katanya.

Sebelum ini hampir 200 membuat laporan polis terhadap ahli Parlimen Wangsa Maju, Tan Yee Kew, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Hisham Ahmad Dahlan dan pengerusi Penjaja Bazaria Wangsa Maju, Ibrahim Merican.

Peniaga berkenaan yang mendakwa berlaku salah guna kuasa dalam pemberian tapak niaga baru oleh pihak yang dinamakan menyebabkan nama mereka tercicir daripada senarai penerima.

Pada 2 Januari kira-kira 70 orang membuat bantahan dengan mendakwa Tan menyalahgunakan kuasa dengan membawa 30 peniaga Cina yang bukan peniaga asal ke tapak baru, sedangkan 300 peniaga daripada jumlah 800 peniaga asal keciciran nama.

Sebagai respons kepada bantahan itu, Tan mendakwa mereka yang terlibat dalam bantahan tersebut merupakan ahli sindiket dan kroni yang hilang pendapatan daripada kutipan penjaja.

Katanya, terdapat 3 hingga 4 “kumpulan gangster” yang mengutip antara RM500 hingga RM1,000 daripada peniaga di Uptown Danau Kota sepanjang 12 tahun lepas.

Tan berkata, peniaga yang dipindahkan ke tapak baru dipilih secara telus melalui 3 kali bancian dalam tempoh 4 bulan oleh badan bebas yang dilantik.

Ketika dihubungi Tan berkata peniaga berkenaan berhak membuat laporan SPRM, tetapi enggan mengulas lanjut.