Saya dan Dr M tidak perlu ditekan dalam isu peralihan kuasa PM, kata Anwar

Dr Mahathir Mohamad sebelum ini berkata, beliau nakan menunaikan janji untuk menyerahkan kuasa kerajaan kepada presiden PKR Anwar Ibrahim.

KUALA LUMPUR: Presiden PKR, Anwar Ibrahim berkata, beliau dan Dr Mahathir Mohamad tidak perlu ditekan dalam isu peralihan kuasa perdana menteri.

Beliau berkata peralihan kuasa itu mestilah dibuat secara tenang dan teratur.

“Perdana menteri (Mahathir) berkata selepas perbincangan saya dengannnya, (peralihan kuasa) akan berlaku selepas Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) (November ini).

“Jadi kita akan berurusan dengan ini dan saya tidak fikir sesiapa perlu diletakkan di bawah tekanan. Baik saya atau Mahathir,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan ucapan pada satu simposium anjuran Help University.

Selasa lalu, Mahathir berkata, beliau bersedia pada bila-bila masa untuk melepaskan jawatan seperti yang dijanjikan kepada Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

Bercakap pada sidang media sebelum ini, Mahathir berkata beliau sedia mengotakan janji itu sekiranya diminta berbuat demikian pada mesyuarat Majlis Presiden PH.

Walau apa pun keputusan pucuk pimpinan gabungan politik itu nanti, Mahathir berkata, beliau akan meletak jawatan selepas sidang kemuncak Apec pada November ini.

Dalam pada itu, Anwar berkata, isu peralihan kuasa itu sedia dibincangkan mesyuarat Majlis Presiden PH, tetapi tidak berkenaan tarikh.

“Kita akan berbincang,” katanya.

Katanya, beliau belum mempunyai perancangan untuk menjadi menteri sebelum menjadi perdana menteri.

Mesyuarat Majlis Presiden PH dijadualkan berlangsung esok dan beberapa isu melibatkan peralihan kuasa kepada Anwar dijangka akan dibincangkan.

Sewaktu pertemuannya dengan Mahathir sebelum ini Anwar berkata, beliau cenderung jika pengerusi PPBM itu terus menerajui negara sehingga selesai sidang kemuncak Apec dan perkara ini akan dimuktamadkan pada mesyuarat Majlis Presiden PH.

Pelbagai pihak, termasuk ahli Parlimen sebelum ini mendesak supaya Mahathir menetapkan tarikh peralihan kuasa itu menyebabkan Anwar menggesa penyokong supaya PH tidak membincangkan perkara itu secara terbuka.