Wow… ‘Mi racun’ resepi rahsia tarikan pelancong ke Batu Pahat

(Gambar Bernama)

Dengar nama sahaja pasti membuatkan anda berfikir 2 kali sama ada mahu makan atau pun tidak.

Namun itulah tarikan bagi sesiapa sahaja yang berkunjung ke Batu Pahat pasti akan mencari dan merasai sendiri “mi racun”.

Bagi yang tidak biasa, mungkin kedengaran menggerunkan namun di sebalik namanya yang unik itu, tersembunyi keenakan mi racun yang sebenarnya langsung tidak berbahaya.

Pemilik gerai mi racun, Muhd Hussein A Jabar, 46, berkata mi itu bukanlah beracun tetapi resipinya diubah suai daripada mi tomato yang boleh didapati dalam dua pilihan, iaitu mi racun gearbox dan mi racun “original”.

Sejarah mi racun berkenaan bermula daripada datuknya yang berasal dari India, Naina Mohd, yang datang ke negara ini pada tahun 1960-an dan ketika itu hanya menjual pelbagai jenis rojak, termasuklah rojak mi.

“Timbul idea untuk membuat kelainan, kemudiannya atuk mencipta ‘rahsia’ resipi mi racun ini sehingga menjadi ‘ketagihan’ kepada pelanggan yang datang menikmatinya,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

Menurut Muhd Hussein, ayah dan bapa saudaranya yang mewarisi resipi berkenaan turut memberikan resipi itu kepadanya dan tiga lagi sepupunya untuk meneruskan legasi kegemilangan mi racun yang hanya terdapat di Batu Pahat.

Selain gerai miliknya, sepupunya turut membuka tiga lagi cawangan mi racun ini iaitu di Jalan Sultanah, Jalan Timah Sari dan Sri Gading.

“Walaupun kini terdapat empat gerai mi racun di daerah ini, namun rasanya tetap sama kerana keempat-empatnya mewarisi resipi yang sama, kerana resipi mi racun ini adalah warisan keluarga kami,” katanya.

Muhd Hussein berkata beliau tidak menghalang mana-mana peniaga lain untuk menggunakan nama mi racun kerana yang pasti, mi yang dihasilkannya mempunyai keistimewaan tersendiri.

“Buat masa ini kami tidak merancang untuk membuka cawangan di luar daerah Batu Pahat, biarlah mi racun ini terus sinonim dengan daerah ini… sebut sahaja mi racun akan teringat kepada Batu Pahat,” katanya.

Muhd Hussein berkata semenjak beliau membuka gerai itu pada tahun 2010, ramai orang kenamaan serta selebriti berkunjung untuk menikmati sama ada mi racun original atau mi racun gearbox.

Beliau berkata gerainya turut kerap menjadi lokasi persinggahan kumpulan pemilik motosikal berkuasa tinggi yang berkunjung ke daerah Batu Pahat serta sekitarnya dan pelanggan yang paling jauh adalah pemilik motosikal berkuasa tinggi dari Thailand.

“Antara yang kerap berkunjung ke sini adalah pelakon dan pelawak terkenal iaitu arwah Zaibo, yang pasti akan singgah apabila balik ke kampung isterinya di Rengit,” katanya.

Beroperasi setiap hari, kecuali pada Isnin minggu kedua dan keempat, perniagaan mi racun ini bermula pukul 4 petang sehingga 11 malam.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]