10 juta topeng muka akan berada di pasaran dalam tempoh 1 minggu, kata Saifuddin

Susulan penularan wabak Covid-19, berlaku kekurangan bekalan topeng muka di pasaran berikutan peningkatan permintaan.

MELAKA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menjangkakan sebanyak 10 juta penutup hidung dan mulut akan mula dibekalkan pengeluar dalam tempoh seminggu bagi memenuhi permintaan pengguna susulan penularan jangkitan Covid-19.

Menterinya, Saifuddin Nasution Ismail berkata, pengeluaran penutup hidung dan mulut itu selaras dengan jaminan kerajaan kepada pengeluar terhadap permintaan mereka bagi membantu meningkatkan jumlah pengeluaran daripada biasa ekoran permintaan yang tinggi dan stok di pasaran terjejas.

” KPDNHEP mengadakan pertemuan dengan industri atau pengeluar penutup hidung dan mulut di negara ini bagi mengetahui keupayaan mereka membekalkan produk itu dalam tempoh terdekat dan antara kekangan yang dihadapi ialah pekerja, peraturan melibatkan syif dan pengecualian cukai bagi bahan mentah yang diperoleh dari luar.

“Jadi, saya beri jaminan kepada mereka bahawa kerajaan akan penuhi permintaan mereka dan kita telah berbincang dengan Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Kewangan agar industri dapat mempercepatkan pengeluaran penutup hidung dan mulut dan bersedia meningkatkan pengeluaran mereka,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Program Food Bank Siswa Politeknik Melaka Peringkat Negeri Melaka 2020 di sini, hari ini.

Beliau berkata, sebanyak 23 kes membabitkan kesalahan menjual penutup hidung dan mulut melebihi harga kawalan, tidak mempamerkan tanda harga (3 kes) dan tidak mengenakan apa-apa syarat jualan (5 kes) melibatkan kompaun berjumlah RM62,400 dalam tempoh 29 Jan hingga semalam.

“Peniaga sepatutnya tidak mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan dalam situasi ini sebaliknya memainkan peranan bersama-sama membantu memastikan bekalan cukup dan harga tidak dinaikkan.

“Mereka yang menjual topeng muka melebihi harga yang diwartakan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011,” katanya.