Ahmad Maslan cuba batal dakwaan pengubahan wang haram RM2 juta

Ahli Parlimen Pontian, Ahmad Maslan.

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pontian, Ahmad Maslan memfailkan permohonan untuk membatalkan 2 dakwaan pengubahan wang haram berhubung dana yang didakwa diterima daripada bekas perdana menteri Najib Razak.

Peguamnya, Hamidi Mohd Noh, berkata Ahmad mencabar pertuduhan di bawah Seksyen 4(1)(a) dan 32(8)(c) kta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA), dengan alasan ia “tidak berasas”.

Beliau berkata permohonan itu dibuat mengikut Seksyen 173(g) Kanun Tatacara Jenayah pada 11 Feb.

Hakim Mahkamah Sesyen Azman Ahmad menetapkan 23 Mac untuk mendengar permohonan Ahmad selepas Timbalan Pendakwa Raya Siti Noor Hafizan Zakaria memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaan memerlukan masa untuk memfailkan maklum balasnya.

“Pihak pembelaan hanya menyerahkan permohonan mereka kepada kami minggu lepas,” katanya kepada mahkamah.

Ahmad yang juga bekas timbalan menteri perdagangan dan industri antarabangsa, didakwa bulan lalu kerana gagal mengisytiharkan pulangan cukai beliau pada 2003 sebanyak RM2 juta yang didakwa diterima daripada Najib, serta memberikan maklumat palsu kepada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau menghadapi hukuman penjara maksimum 5 tahun dan denda antara RM3 juta hingga RM5 juta jika didapati bersalah.

Terdahulu, SPRM mengeluarkan notis kompaun kepada Ahmad dan 79 individu lain, menuntut mereka memulangkan wang yang mereka terima yang didakwa dari 1MDB.

SPRM berkata ia menerima lebih RM420 juta daripada Najib.