Bilal masjid 70 tahun parah ditikam di London

Iman London Central Mosque Trust ditikam ketika solat Zuhur. (Gambar AP)

LONDON: Seorang bilal berusia 70-an ditikam di sebuah masjid di London pada Khamis dan penyerang itu ditangkap kerana disyaki cuba membunuh, kata polis dan pegawai masjid.

“Penyerang itu diberkas oleh jemaah sehingga polis tiba dan menahannya,” kata London Central Mosque Trust dalam satu kenyataan.

“Bilal itu tidak mengalami sebarang kecederaan yang mengancam nyawa tetapi cedera parah dan dirawat di hospital.”

Polis Metropolitan London berkata detektif tidak percaya kejadian itu dikaitkan dengan keganasan.

“Lelaki berusia 29 tahun, yang dipercayai datang untuk menunaikan solat, ditangkap di dalam masjid kerana disyaki cuba membunuh,” kata mereka dalam satu kenyataan.

Gambar yang dipaparkan di Twitter menunjukkan pegawai polis menahan lelaki terbabit di dalam dewan solat masjid, berhampiran Regents Park, dan membawanya pergi.

Seorang saksi berkata kira-kira 100 jemaah berada di dewan solat ketika serangan dan kira-kira 20 orang menerkam penyerang tersebut.

“Saya mendengar jeritan dan kemudian kami melihat darah,” katanya saksi yang enggan dinamakan.

Beliau berkata mangsa ditikam di atas bahu oleh lelaki yang datang masjid itu sejak 6 bulan lalu sebelum kejadian pada Khamis.

Perdana Menteri Boris Johnson berkata beliau sangat sedih mendengar berita mengenai serangan itu.

“Sungguh dahsyat bahawa ini berlaku, terutama di tempat ibadat. Fikiran saya adalah mengenai mangsa dan semua yang terjejas,” kata Johnson di Twitter.