Kenapa Kementerian WP tidak siasat lebuh raya ‘mencurigakan’ Bangsar-Damansara, soal C4 Center

DBKL dilaporkan akan membelanjakan RM100 juta, hampir separuh daripada kos projek Lebuhraya Bertingkat Bangsar-Damansara sebanyak RM211.5 juta, sementara bakinya RM111.5 juta ditanggung oleh syarikat Impian Ekspresi Sdn Bhd.

PETALING JAYA: Sebuah pertubuhan anti-rasuah menyuarakan kebimbangan berhubung keadaan yang disifatkannya sebagai mencurigakan berkait penganugerahan projek kontroversi lebuh raya bertingkat yang menghubungkan Bangsar dengan Damansara berikutan protes baru penduduk dan 2 ahli Parlimen yang mewakili kawasan itu.

C4 Center juga mempersoalkan sama ada projek Lebuhraya Bertingkat Bangsar-Damansara akan memberi manfaat kepada projek pembangunan mewah pemaju persendirian di sepanjang laluan itu.

Menyifatkan projek berkenaan sebagai “tidak masuk akal”, C4 Center berkata, 2 penyokongnya, termasuk bekas menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor kini berdepan pertuduhan rasuah melibatkan wang berjumlah berjuta-juta ringgit daripada pemaju.

Selain Tengku Adnan, yang berdepan 2 pertuduhan rasuah sebanyak RM3 juta, seorang lagi penyokong projek lebuh raya itu ialah Sabudin Mohd Salleh, yang mengetuai jabatan pengangkutan bandar dan kejuruteraan awam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Bulan lepas, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendakwa Sabudin atas 6 pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM1 juta sebagai dorongan bagi penganugerahan beberapa kontrak penyelenggaraan dan projek jambatan konkrit di Kuala Lumpur.

“Apakah Kementerian Wilayah Persekutuan tidak menjalankan siasatan dalaman ke atas projek lebuh raya yang sangat mencurigakan ini yang berlaku semasa pentadbiran Tengku Adnan dan Sabudin,” soal C4 Center.

Bekas menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor adalah antara individu yang menyokong projek Lebuhraya Bertingkat Bangsar-Damansara.

“Sehingga kini projek ini diselubungi misteri. Penduduk setempat dan ahli Parlimen yang mewakili mereka terkejut atas kesediaan DBKL menyerap sebahagian besar daripada kos pembinaan lebuh raya yang dipercayai bertujuan memberi kelebihan kepada pemaju projek pembangunan mewah di Damansara Heights,” katanya, merujuk kepada projek Pavilion Damansara Heights dianggarkan bernilai berbilion ringgit.

Semalam ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh dan ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil menggesa SPRM menyiasat projek lebuh raya tersebut, yang juga dibantah oleh beberapa kumpulan penduduk.

Pada September tahun lepas, mereka membuat laporan kepada agensi anti-rasuah itu, sekali gus mempersoalkan kenapakah DBKL membiayai projek tersebut, selain ketidakwujudan proses tender terbuka.

Difahamkan bahawa DBKL akan membelanjakan RM100 juta, hampir separuh kos projek berkenaan sebanyak RM211.5 juta, sementara Impian Ekspresi Sdn Bhd akan menanggung bakinya sebanyak RM111.5 juta.

Lebuh raya 3 lorong itu akan bermula dari Jalan Semantan di Damansara ke persimpangan Lebuhraya Sprint dan Jalan Maarof di Bangsar.

Pihak berkuasa berkata, ia akan memendekkan perjalanan dari Bangsar ke Pusat Bandar Damansara, tetapi penduduk mendakwa ia akan hanya menambah kesesakan lalu lintas sedia ada.

FMT berusaha mendapatkan komen daripada Pavilion Group.