Mahathir pengerusikan mesyuarat Majlis Presiden PH di Putrajaya

Pengerusi PH merangkap perdana menteri Dr Mahathir Mohamad hadir ke mesyuarat Majlis Presiden PH di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya malam ini. (Gambar Bernama)

PUTRAJAYA:Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) bermula sebentar tadi selepas pengerusi PH, Dr Mahathir Mohamad tiba di Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP) di sini.

Mahathir yang juga perdana menteri dilihat berbaju merah memasuki perkarangan YKP jam 8.30 malam.

Terdahulu antara yang hadir adalah timbalan perdana menteri, yang juga presiden PH, Dr Wan Azizah Wan Ismail serta presiden Amanah, Mohamad Sabu.

Turut dilihat memasuki pekarangan YKP adalah presiden PPBM, Muhyiddin Yassin dan setiausaha agung DAP, Lim Guan Eng.

Hadir sama, presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Mesyuarat yang diadakan secara tertutup itu dijangka membincangkan antara lain isu tarikh peralihan kuasa kerajaan daripada Mahathir kepada Anwar.

Kali terakhir gabungan politik itu bermesyuarat adalah 3 bulan lalu.

Terdahulu sebelum ketibaan Mahathir hampir 100 ahli Pemuda PPBM berkumpul di luar YKP bagi menyatakan sokongan kepada pengerusi PH itu.

Mereka berhimpun secara aman dengan membawa sepanduk ‘Kekal Tun M’.

Menurut Exco Pemuda PPBM, Mohd Fahim Mohd Farid, himpunan itu diadakan untuk memberi sokongan kepada perdana menteri dan mengutuk sesiapa sahaja yang mendesak agar Mahathir melepaskan jawatannya.

“Kalau Tun Mahathir kata peralihan kuasa akan berlaku selepas sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) pada November ini maknanya lepas APEC lah.

“Jangan desak beliau. Rakyat dah muak dengan isu ini,” katanya.

Kawasan sekitar juga dikawal ketat pihak polis.

Pemuda PPBM mengadakan himpunan aman bagi menyokong kepimpinan Mahathir sebagai perdana menteri.

Pihak media juga tidak dibenarkan masuk menggunakan kenderaan sehingga ada yang terpaksa berjalan hampir 500 meter menuju ke YKP.

Mesyuarat Majlis Presiden PH malam ini dilihat penting oleh banyak pihak ke arah menyelesaikan kemelut peralihan kuasa kerajaan daripada Mahathir kepada Anwar.

Berdasarkan perjanjian yang dipersetujui pimpinan gabungan politik itu menjelang pilihan raya umum lepas, Anwar akan menggantikan Mahathir sebagai perdana menteri walaupun tarikh tepat peralihan tersebut tidak ditetapkan.

Mahathir berkata beliau akan melepaskan jawatan selepas sidang kemuncak Apec di Kuala Lumpur November depan.

Anwar baru-baru ini berkata, beliau tiada masalah dengan tarikh tersebut dan yakin dengan sokongan ahli Parlimen.

“Jika anda boleh tunggu 20 tahun, tambahan 6 bulan lagi bukan masalah.

“Jika ada permintaan kembali ke Parlimen, tentu sekali ia boleh dibuat, tetapi PH ada majoriti sekarang,” katanya dalam satu temu bual dengan Reuters.

Putrajaya sibuk dengan khabar angin dan spekulasi berhubung hasil mesyuarat malam ini, termasuk pihak yang meramalkan gabungan politik yang dibentuk menjelang pilihan raya umum lepas akan berpecah.

Sumber sebelum ini memberitahu terdapat tanda-tanda bahawa mesyuarat ini juga akan membincangkan kemungkinan rombakan Kabinet.