Najib, Rosmah tiba di SPRM beri keterangan berkait rakaman audio

Awal bulan lalu, SPRM mendedahkan 9 klip audio perbualan didakwa membabitkan Najib Razak, Rosmah Mansor, pegawai kerajaan dan 2 individu dari UAE menunjukkan seolah-olah wujud konspirasi untuk memanipulasikan maklumat.

KUALA LUMPUR: Selepas lebih sejam disoal Bukit Aman, Najib Razak dan Rosmah Mansor ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pula untuk memberi keterangan berhubung rakaman audio didakwa suara mereka serta beberapa individu lain membincangkan urusan berkaitan 1MDB.

Bekas perdana menteri dan isterinya tiba di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (Maca) kira-kira 3 petang tadi menaiki Proton Perdana.

Mereka ditemani peguam masing-masing untuk disoal berhubung 9 rakaman audio didedahkan SPRM pada awal bulan lalu yang didakwa konspirasi jenayah peringkat tertinggi.

Najib Razak (kanan) memasuki Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia petang ini.

Pagi tadi di Bukit Aman, peguam Rajivan Nambiar dan Mohamed Reza Rahim yang mewakili Rosmah berkata, Najib dan Rosmah masing-masing diambil keterangan pada 10.30 pagi dan 10.45 pagi tadi serta keluar sejam kemudian.

Pada 8 Jan lalu, SPRM mendedahkan 9 klip audio perbualan didakwa membabitkan Najib Razak, Rosmah Mansor, pegawai kerajaan dan 2 individu dari Emiriah Arab Bersatu yang dikatakan dirakam pada 5 Jan hingga 29 Julai 2016 menunjukkan seolah-olah wujud konspirasi untuk memanipulasi maklumat.

Polis sebelum ini mengambil keterangan 12 individu, termasuk Ahli Parlimen Baling, Abdul Azeez Abdul Rahim, bekas ketua setiausaha sulit Najib, Shukry Mohd Salleh dan bekas pegawai khasnya, Amhari Efendi Nazaruddin dalam siasatan ke atas 9 rakaman audio itu.