Pertikaian mengenai cadangan gabung sekolah di Sarawak tidak harus lengah kerja baik pulih, kata Baru Bian

Menteri Kerja Raya Baru Bian berkata, perbezaan pandangan berhubung cadangan penggabungan sekolah tidak sepatutnya melengahkan kerja baik pulih sekolah daif di Sarawak.

KUCHING: Menteri Kerja Raya Baru Bian berkata, perbezaan pendapat mengenai cadangan Jabatan Pendidikan Sarawak untuk menggabungkan beberapa sekolah rendah di negeri itu tidak harus menjadi sebab kelewatan kerja membaik pulih sekolah daif .

“Saya tidak fikir ia harus menjadi sebab kelewatan kerja membaik pulih sekolah daif di Sarawak,” katanya pada satu sidang media di sini, hari ini.

Semalam Menteri Kewangan Lim Guan Eng dalam satu kenyataan berkata, kelewatan kerja membaik sekolah daif di Sarawak berpunca daripada perbezaan pendapat berhubung cadangan menutup dan menggabungkan beberapa sekolah rendah di negeri itu.

Penangguhan itu melibatkan 16 daripada 37 sekolah yang sepatutnya dibaik pulih dengan menggunakan pakej pertama sebanyak RM370 juta yang dibayar oleh kerajaan Sarawak pada Ogos tahun lepas sebagai sebahagian daripada pembayaran balik hutang RM1 bilion kepada Putrajaya.

“Tender bagi pelaksanaan kerja baik pulih 16 sekolah terbabit ditangguhkan bagi membolehkan Kementerian Pendidikan dan Jabatan Kerja Raya Sarawak menyemak semula skop dan kos projek terbabit. Tender projek ini dijangka dikeluarkan pada Mac tahun ini,” kata Lim.

Baru bagaimanapun berkata, kerja baik pulih sekolah sepatutnya diteruskan, terutama sekolah yang tidak terlibat dengan cadangan penggabungan.

“Pelaksanaan (kerja baik pulih sekolah daif di Sarawak) mesti dijalankan dalam tempoh yang wajar.”

Isu sekolah daif di Sarawak wujud lama sebelum Pakatan Harapan (PH) mengambil alih Putrajaya katanya, selain menambah bahawa Kabinet peka dengan masalah itu dan berusaha mengatasinya.

“Malah saya pernah membangkitkan isu ini dalam Dewan Undangan Negeri sebelum ini,” katanya.

Mengenai perbezaan pendapat berhubung cadangan Jabatan Pendidikan Negeri untuk menggabungan beberapa buah sekolah di kawasan luar bandar, Baru berkata, ia (penggabungan sekolah) akan menjadi “masalah besar” bagi pelajar.

“Kita harus ambil kira masa perjalanan dan hakikat bahawa pelajar perlu ditempatkan di asrama. Kebanyakan sekolah ini kurang pelajar dan terletak jauh di pedalaman.

“Secara dasar, kita tidak bersetuju dengan cadangan itu melainkan ia sangat perlu dan mesti dilakukan dengan melibatkan ibu bapa pelajar terbabit,” katanya.