Pimpinan PH mungkin bincang rombakan Kabinet

Sumber berkata, Dr Mahathir Mohamad boleh merombak Kabinet secara sah tanpa memberitahu sesiapa, tetapi beliau mungkin secara dasarnya mahu mendapatkan persetujuan menteri lain berhubung rancangannya.

PETALING JAYA: Pimpinan tertinggi Pakatan Harapan mungkin membincangkan rombakan Kabinet dalam mesyuarat Majlis Presiden PH yang dijadualkan berlangsung malam ini, kata 2 pemimpin gabungan itu yang enggan dinamakan.

“Topik rombakan Kabinet akan dikemukakan untuk perbincangan,” kata seorang daripada 2 pemimpin itu kepada FMT.

Menurut mereka, mesyuarat itu ialah pendahuluan kepada sesi Majlis Presiden PH yang akan dihadiri Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad dan timbalannya, Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden PKR, Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, Preisden PPBM, Muhyiddin Yassin dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu.

Kehadiran penasihat PKR, Wan Azizah yang bukannya ahli Majlis Presiden PH ialah petunjuk topik rombakan Kabinet mungkin dibangkitkan.

Sumber itu berkata, Mahathir yang mempelawa Wan Azizah ke mesyuarat berkenaan.

“Sudah tentu, Mahathir boleh merombak Kabinet secara sah tanpa memberitahu sesiapa, tetapi beliau mungkin secara dasarnya meminta persetujuan mereka,” kata seorang daripada sumber itu.

Katanya, mesyuarat itu mungkin membincangkan pelan peralihan kuasa Mahathir kepada Anwar, jika ada hadirin yang membangkitkan isu berkenaan yang tiada dalam agenda mesyuarat terbabit.

Seorang lagi sumber berkata, Mahathir mungkin menangguhkan perbincangan peralihan kuasa ke tarikh lain.

Kedua-dua sumber itu berkata, Mahathir yang mencadangkan mesyuarat itu diadakan dan ia mungkin kerana beliau merasakan ada keperluan memperkukuhkan Kabinetnya dan memaklumkan pemimpin lain mengenai rancangannya.

Topik rombakan Kabinet timbul sejak beberapa bulan lalu dan spekulasi mengenainya sering diperkatakan sejak 2 Jan lalu apabila Maszlee Malik meletak jawatan sebagai menteri pendidikan.