PKNS tolak laporan pembangunan Selangor Business Capital babit rizab hutan

PKNS menolak dakwaan pembangunan projek Selangor Business Capital akan dijalankan di kawasan rizab Hutan Simpan Kuala Langat Utara. (Gambar PKNS)

KUALA LUMPUR: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) hari ini menafikan dakwaan sebuah portal berita tempatan bahawa pembangunan projek Selangor Business Capital akan dijalankan di kawasan rizab Hutan Simpan Kuala Langat Utara.

PKNS menegaskan, pembangunan itu juga sama sekali tidak melibatkan pemansuhan status hutan simpan tersebut.

Ia menyifatkan artikel bertajuk “Kerajaan Selangor mahu bina taman perniagaan mega di rizab hutan,” yang disiarkan pada 21 Feb 2020 di portal berita itu sebagai tidak tepat dan mengelirukan.

“Sehubungan itu, PKNS menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Malaysiakini bahawa Selangor Business Capital akan dibangunkan di atas tanah rizab dan mencabuli hak Orang Asli di kawasan hutan simpan terbabit.

“Perkara ini mengakibatkan nama baik PKNS tercalar yang mana artikel tersebut dibincangkan oleh orang awam di laman sosial,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Selangor Business Capital merupakan projek kerajaan negeri Selangor yang akan dibangunkan oleh PKNS di Selangor Cyber Valley, Cyberjaya, di atas tanah seluas 56 hektar (140 ekar).