Polis Hong Kong dijangkiti Covid-19, berpuluh pegawai dikuarantin

Pegawai polis memakai topeng muka ketika bertugas di bandaraya Hong Kong. (Gambar AP)

HONG KONG: Seorang pegawai polis Hong Kong disahkan dijangkiti Covid-19, pegawai pertama yang positif virus itu di hab kewangan Asia, manakala berpuluh-puluh pegawai lain dikuarantin kerana kebimbangan penularannya, kata pihak berkuasa pada Jumaat.

Pegawai berusia 48 tahun itu menghadiri jamuan dengan 59 polis lain di daerah barat Hong Kong pada 18 Feb. Semua orang yang hadir kini dikuarantin, menurut kenyataan di Facebook rasmi Polis Hong Kong.

“Polis sangat prihatin terhadap kejadian itu dan bekerjasama secara aktif dengan Jabatan Kesihatan,” kata kenyataan itu.

Hong Kong mempunyai 69 kes disahkan virus itu dan mencatatkan 2 kematian setakat ini. Ia termasuk pekerja restoran makanan segera dan pemandu teksi, kedua-duanya terdedah kepada orang ramai, kata pihak berkuasa.

Pemimpin yang mengendalikan krisis itu, Carrie Lam menimbulkan kemarahan awam, dengan pengkritik menggesanya menutup seluruh sempadan dengan tanah besar China dan beberapa pekerja perubatan melakukan protes.

Lam berkata penutupan penuh sempadan tidak praktikal, tidak sesuai dan diskriminasi.

Lebih 100 penduduk Hong Kong yang menjadi penumpang kapal layar Diamond Princess di Jepun dijangka kembali ke Hong Kong dengan penerbangan kerajaan pada malam Jumaat atau Sabtu.

Kumpulan pertama 106 penumpang tiba di wilayah China pada Khamis.

Pihak berkuasa berkata 66 dari 364 penduduk Hong Kong berada di kapal itu dijangkiti dengan Covid-19. Mereka akan tinggal di Jepun bersama-sama dengan 41 warga lain yang mempunyai kontak rapat dengan mereka.