4 pantai di Terengganu rekod penemuan obor-obor beracun ‘portuguese man o’ war’

Awal bulan ini, media melaporkan penemuan obor-obor beracun ‘portuguese man o’ war’ di Pantai Pulau Kekabu, Marang oleh anggota APM ketika menjalani latihan penyelamat pantai itu. (Gambar Facebook)

SETIU: Selepas Pantai Kekabu di Marang, 4 lagi pantai di Terengganu mencatatkan penemuan obor-obor beracun yang dikenali sebagai “portuguese man o’ war”.

Pengarah Perikanan Terengganu, Zawawi Ali berkata, 3 lagi pantai berkenaan ialah Pantai Batu Buruk di Kuala Terengganu, Pantai Rhu 10 di Setiu dan Pantai Bukit Keluang di Besut.

“Sehubungan itu, kita menasihatkan pengunjung agar tidak mandi-manda di kawasan pantai (negeri ini) buat masa ini kerana dikhuatiri terkena sengatan obor-obor ini.

“Ini kerana masih tiada anti venom untuk serangan obor-obor ini, kecuali ubat penahan sakit sahaja. Menurut ahli sains, kesan serta merta yang dirasai dalam tempoh 3 minit ialah kekejangan yang menimbulkan kesakitan melampau,” katanya kepada pemberita pada program Hari Pengembangan Perikanan peringkat negeri Terengganu di sini hari ini.

Pada awal bulan ini, media melaporkan mengenai obor-obor beracun itu yang ditemui terdampar di Pantai Pulau Kekabu, Marang oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Marang ketika sedang menjalani latihan penyelamat pantai di situ.

Mengulas lanjut, Zawawi berkata, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di daerah yang merekodkan penemuan obor-obor itu perlu meletakkan bendera merah dan papan tanda di lokasi terbabit sebagai tanda amaran kewujudan obor-obor beracun di kawasan itu.

“Setakat ini, Majlis Daerah Marang memasang papan tanda amaran itu di Pantai Pulau Kekabu dan kita berharap PBT lain juga akan mengambil langkah sama dalam masa terdekat.

Orang ramai yang menemui obor-obor ini perlu melaporkannya kepada Jabatan Perikanan atau Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk tindakan lanjut dengan melupuskannya mengikut prosedur,” katanya.

Zawawi berkata, nelayan tempatan mendakwa obor-obor itu pernah ditemui di perairan Pulau Kapas sejak 4 tahun lepas, namun tiada bukti yang dapat mengesahkannya.