Dividen KWSP lebih rendah bagi 2019 adil, memuaskan, kata MTUC

MTUC menggesa kerajaan memberi kelonggaran kepada KWSP untuk membuat pelaburan di luar negara.

PETALING JAYA: Presiden MTUC Abdul Halim Mansor menyifatkan dividen KWSP lebih rendah bagi tahun 2019 sebagai adil dan memuaskan memandangkan pulangan lebih rendah ke atas pelaburannya.

Beliau berkata, ini kerana cabaran kemerosotan ekonomi seperti pencapaian lebih rendah pasaran saham domestik dan ekuiti tempatan.

“Semua perkembangan ini memberi kesan ke atas pelaburan KWSP yang menyebabkan bayaran dividen lebih rendah bagi tahun 2019.

“MTUC percaya KWSP akan mengambil langkah sesuai bagi melihat sama ada dasar pelaburannya boleh diperkukuhkan bagi menghadapi cabaran ekonomi masa depan dan memastikan pulangan lebih baik pada tahun 2020 dan seterusnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Halim Mansor.

KWSP hari ini mengumumkan dividen 5.45% dengan jumlah agihan sebanyak RM41.68 bilion untuk simpanan konvensionalnya tahun lepas.

Justeru, ia memberikan 2.95% melebihi kadar yang dimandatkan di bawah Akta KWSP 1991, yang memerlukan pengisytiharan dividen nominal sekurang-kurangnya 2.5% setiap tahun.

Bagaimanapun kadar itu lebih rendah berbanding dividen 6.15% yang diberikan bagi 2018.

Dalam pada itu Halim menggesa kerajaan supaya memberi kelonggaran kepada KWSP untuk membuat lebih banyak pelaburan di luar negara.

“Pulangan daripada pelaburan di luar negara sangat posittif kepada KWSP, dan membolehkannya mengumumkan dividen yang memuaskan bagi 2019 walaupun berdepan persekitaran ekonomi yang mencabar.

Beliau berkata, MTUC percaya dana itu akan membuat penambaikan perlu ke atas proses dan prosedur dalamannya untuk meluluskan pelaburan di dalam negeri dan luar negara bagi memastikan pulangan serta dividen lebih baik pada tahun 2020.