Fokus kepada isu negara bukan peralihan kuasa, kata Wan Azizah

Wan Azizah Wan Ismail bersama Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim selepas mesyuarat Majlis Presiden PH, malam tadi.

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memberi tumpuan kepada usaha menangani masalah dan isu yang dihadapi negara khususnya kesan jangkitan Covid-19 kepada ekonomi berbanding hal seperti peralihan kuasa, kata Timbalan Perdana Menteri Wan Azizah Wan Ismail.

Wan Azizah berkata isu penyerahan jawatan perdana menteri kepada penggantinya disepakati pada mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan yang dipengerusikan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, malam tadi.

“Kita mentadbir negara sebaik mungkin untuk perbaiki (negara)… kita sedang menghadapi kluster Covid-19, cara bagaimana kita menanganinya kerana ia memberi kesan negatif kepada ekonomi negara.

“Oleh itu, kita semua akan fokus (terhadap impak Covid-19 kepada negara). Isu peralihan kuasa disepakati semalam dan ditetapkan selepas Apec (Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik),” katanya kepada pemberita selepas melakukan pelepasan Kayuhan Kasih Mesra Fun Ride bersama TPM, hari ini.

Beliau menjawab soalan pemberita berhubung keputusan Majlis Presiden PH malam tadi yang memutuskan peralihan kuasa adalah selepas persidangan Apec 2020 pada November dan menyerahkan kepada Mahathir untuk memutuskan bila beliau akan mengundurkan diri.

Terdahulu, Wan Azizah yang juga ahli Parlimen Pandan, meluangkan masa kira-kira sejam pada program kayuhan sejauh 30km dan 5km anjuran Kelab Basikal Komuniti Ampang membabitkan penyertaan 500 peserta.

Mengulas program itu, beliau berkata ia adalah aktiviti riadah gaya hidup sihat yang bertujuan meningkatkan penjagaan kesihatan meliputi setiap lapisan masyarakat termasuk golongan berusia.