Hormati keputusan PH, Anwar nasihati penyokong mahu turun ke jalanan

Anwar Ibrahim ketika menghadiri majlis Himpunan 6 Dekad Keluarga Besar Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia di Pusat Konvesyen Bangi, hari ini.

BANGI: Presiden PKR Anwar Ibrahim menggesa penyokongnya menghormati dan akur dengan keputusan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan malam tadi berhubung peralihan kuasa perdana menteri.

Ia susulan kumpulan Otai Reformis memutuskan untuk turun ke jalanan bagi mendesak Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berundur dan menyerahkan kuasa pada Mei ini.

“Saya boleh gesa (Otai Reformis) hormati keputusan.

“Tumpuan kita adalah ekonomi dan cabaran menghadapi kesan dari penularan koronavirus,” katanya semasa sidang media selepas hadir majlis Himpunan 6 Dekad Keluarga Besar Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) di Pusat Konvesyen Bangi, hari ini.

Semalam, Mahathir berkata penyerahan kuasa akan diteruskan selepas Persidangan Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec) pada November.

Mahathir berkata, majoriti pimpinan bersetuju untuk memutuskan tarikh bila beliau akan menyerahkan kuasa.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai dakwaan berlaku ketengangan antara pemimpin PH dalam mesyuarat malam tadi, Anwar mengatakan ia satu kebiasaan.

Katanya, menjadi sesuatu yang sukar untuk memastikan tiada ketengangan berlaku dalam mana-mana perbincangan kerana gabungan itu mendukung pinsip kebebasan bersuara.

“Yang pentingnya tidak ada orang pertikai transisi. Keputusan kita, Tun M PM ke-7, Anwar PM ke-8,” katanya.