Keputusan Tommy Thomas dalam kes LTTE rendahkan wibawa polis, kata Umno

Polis sebelum ini konsisten menegaskan tangkapan terhadap 12 individu yang didakwa mempunyai kaitan dengan LTTE dibuat atas bukti yang mencukupi berdasarkan risikan yang lama dan menyeluruh.

PETALING JAYA: Keputusan Peguam Negara Tommy Thomas memberhentikan pertuduhan terhadap 12 individu dikaitkan dengan kumpulan militan, Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) secara tidak langsung merendahkan wibawa pasukan polis.

Naib presiden Umno Mohamed Khaled Nordin berkata, polis sebelum ini konsisten menegaskan tangkapan terhadap 12 individu yang mempunyai kaitan dengan LTTE itu dibuat berdasarkan bukti yang mencukupi berdasarkan risikan yang lama dan menyeluruh.

“Pertuduhan terhadap suspek dilakukan Pejabat Peguam Negara sendiri. Rasional apakah yang boleh ditawarkan oleh peguam negara dalam menyelamatkan wibawa siasatan polis,” soalnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Mohd Yassin berkata, kumpulan militan LTTE masih dikategorikan sebagai kumpulan pengganas dan kerajaan tidak berhasrat untuk mengugurkan kedudukan kumpulan itu.

Muhyiddin berkata, Tommy tidak mempunyai kuasa di bawah undang-undang untuk mencampuri urusan dan bidang kuasa menteri dalam negeri.

Thomas semalam, memutuskan tiada prospek yang jelas untuk sabitan terhadap mana-mana 12 tertuduh dalam mana-mana 34 pertuduhan terhadap mereka dan bertindak memberhentikan prosiding terhadap kesemua tertuduh berkuat kuasa serta-merta.

Mohamed Khaled Nordin.

Khaled turut mempersoalkan apakah keputusan Tommy terhadap kes melibatkan LTTE ini akan menjadi permulaan bagi semakan semula kes yang diletakkan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

“Bagaimana pula pendakwaan dan pensabitan yang dikenakan ke atas pelbagai individu lain yang menyokong dan mempromosi kumpulan pengganas lain seperti IS dan Jemaah Islamiyyah sebelum ini.

“Tindakan terbaru peguam negara mewajarkan semua kes tersebut disemak dan digugurkan juga atas sebab “tiada prospek realistik” untuk mensabitkan mereka hanya kerana mereka “mempunyai gambar dan barangan orang yang mereka kagumi,” katanya.

Beliau berkata, keputusan Tommy dalam kes 12 individu melibatkan LTTE juga menimbulkan beberapa persoalan dan implikasi dalam usaha Putrajaya membanteras aktiviti keganasan di Malaysia.

“Keputusan ini dibuat setelah kesemua 12 suspek ditangkap, didakwa dan dipenjarakan tanpa jaminan untuk beberapa bulan. Malah pihak pendakwaan bersungguh-sungguh menentang permohonan ikat jamin.

“Ia adalah atas dasar kepentingan keselamatan negara. Semua ini menimbulkan rasa sangsi masyarakat terhadap kewibawaan proses pendakwaan jika tahap pensabitan adalah diragui akhirnya,” katanya.

Menurut Khaled lagi, keputusan Tommy jelas bercanggah dengan konsensus global dalam menangani radikalisme dan dasar anti keganasan.

Baginya, keputusan itu memerlukan Putrajaya mengkaji semula dasar pembanterasan keganasan di negara ini.

“Menyimpan kerana mengidolakan dan menyimpan kerana menyokong apa jua material berkaitan dengan individu, ideologi atau pergerakan pengganas adalah kesalahan disepakati masyarakat keselamatan global.

“Ia sudah dijadikan undang-undang di pelbagai negara, termasuk Malaysia dengan tujuan pembanterasan dan pencegahan apa jua elemen yang boleh menjurus kepada radikalisasi,” katanya.

12 tertuduh itu ialah ahli DAP, V Suresh Kumar, 44; ahli perniagaan, B Subramaniam, 58; penjaga stor, S Thanagaraj, 27; Saminathan, 35; Gunasekaren, 61; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Teknologi Hijau di Melaka, S Chandru, 39; juruteknik, S Arivainthan, 28; pengawal keselamatan, M Pumugan, 30; guru sekolah menengah di Telok Panglima Garang, Selangor, Sundram Renggan @ Rengasamy, 53; pemandu teksi V Balamurugan, 38; pengutip besi buruk A Kalaimughilan, 29; dan penghantar surat S Teeran, 39.

Semua mereka ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) dan ditempatkan di Penjara Sungai Buloh sementara menunggu perbicaraan.

Di bawah Sosma mereka tidak dibenar diikat jamin.

Mereka antara lain menghadapi pertuduhan memberi sokongan kepada LTTE dalam suatu majlis, memberi sokongan kepada kumpulan itu dalam media sosial dan pertuduhan memiliki, mengedar dan memaparkan bahan-bahan berkaitan LTTE.