KWSP umum dividen 5.45% dengan jumlah agihan RM41.68 bilion bagi 2019

Jumlah aset keseluruhan KWSP meningkat kepada RM924.75 bilion di samping merekodkan pertumbuhan ahli sebanyak 2.8% kepada 14.6 juta ahli pada 2019.

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang SImpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan prestasi kukuh bagi 2019 yang disumbangkan oleh operasi dan kewangan, seterusnya membolehkannya mengisytiharkan dividen sebanyak 5.45% dengan jumlah agihan RM41.68 bilion untuk simpanan konvensional.

KWSP memberikan 2.95% melebihi kadar yang dimandatkan di bawah Akta KWSP 1991, yang memerlukan pengisytiharan dividen nominal sekurang-kurangnya 2.5% setiap tahun.

Di samping itu, dividen purata3 tahun KWSP untuk simpanan konvensional selepas penyelarasan inflasi, adalah 4.33%, iaitu 2.33% melebihi sasaran 3 tahun KWSP sebanyak 2.00%.

Bagi simpanan syariah, yang dilancarkan pada Ogos 2016, KWSP mengumumkan kadar dividen 5.00% untuk simpanan 2019, dengan agihan sebanyak RM4.14 bilion, menurut KWSP dalam kenyataan hari ini.

“Perbezaan antara kedua-dua simpanan itu adalah kerana pilihan jumlah aset patuh syariah adalah tidak seluas pilihan yang terbuka untuk pelaburan simpanan konvensional,” menurut ketua pegawai eksekutif KWSP, Alizakri Alias dalam kenyataan yang sama.

Beliau berkata, majoriti pelaburan simpanan syariah adalah dalam pasaran domestik yang menunjukkan prestasi kurang memberangsangkan pada 2019.

Jumlah aset keseluruhan KWSP meningkat kepada RM924.75 bilion di samping merekodkan pertumbuhan ahli sebanyak 2.8% kepada 14.6 juta ahli, manakala jumlah majikan yang berdaftar pula bertambah 3.0% kepada 522,300 majikan.

Pada tahun yang sama, KWSP mencatatkan peningkatan sebanyak 24.6% bagi pelanggan i-Akaun kepada 7.6 juta pelanggan.

2019 juga menyaksikan KWSP meningkatkan pelbagai penambahbaikan kepada ahlinya.

Tabung persaraan itu melancarkan i-Invest pada Ogos 2019 yang membantu ahli membuat keputusan bermaklumat dalam pelaburan unit amanah, yang menyaksikan lebih 10,000 ahli membuat transaksi bernilai RM81.8 juta.

Bilangan ahli yang menggunakan khidmat nasihat persaraan juga terus berkembang sejak penubuhannya pada 2014, dan memberi manfaat kepada lebih 83,000 ahli.

Di samping itu, jumlah pendaftaran i-Saraan meningkat kepada 137,000, manakala pendaftaran untuk i-Suri bertambah kepada 88,500, menandakan pertumbuhan kukuh bagi kedua-dua produk.

Alizakri berkata seperti yang dijangkakan, semua pihak menyaksikan turun naik yang ketara pada 2019 berbanding 2018 malah tempoh 2019 mencerminkan realiti hidup dunia yang tidak menentu, ketidakpastian, kompleks dan kabur.

“Pelbagai isu di pasaran global yang masih belum selesai dan terdapat pula beberapa isu baharu yang timbul. Terdapat tiga kali potongan kadar faedah telah dibuat oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat, perang dagangan AS-China yang berterusan dan masih belum menunjukkan jalan penyelesaian serta ketidakpastian sekitar perundingan Brexit,” katanya.

Beliau juga berkata KWSP tidak menjangkakan bahawa rusuhan di Hong Kong akan berlarutan dan terus menambahkan tekanan ke atas pasaran Timur Jauh.

“Tambahan lagi, pasaran domestik mengalami kesukaran untuk menyokong keupayaan penjanaan pendapatan KWSP di mana 70% aset KWSP adalah di dalam Malaysia, sebahagian besarnya dalam ekuiti domestik.

“Bagaimanapun, alokasi aset strategik dan struktur membuat keputusan kami menyediakan suatu sistem yang menyeluruh yang menjadi panduan serta perlindungan daripada ketidaktentuan dan suasana yang mencabar,” katanya.

Ini membantu KWSP memenuhi mandat ahli dengan terus memelihara dan mengembangkan simpanan mereka, dan KWSP berbesar hati dapat memberikan keputusan yang lebih baik daripada yang dijangkakan, katanya.

Alizakri berkata pencapaian ini adalah hasil daripada strategi kepelbagaian jangka panjang yang membolehkan KWSP melakukan yang terbaik walaupun dalam keadaan yang sukar.

“KWSP sentiasa berpendapat bahawa pegangan luar negara adalah asas dan penting dalam keseluruhan portfolio kami, dan telah beberapa kali menyatakan usaha kami untuk meneruskan diversifikasi bagi mengurangkan risiko penumpuan,” katanya.