LTTE diwarta kumpulan pengganas selepas tarikh kesalahan dilakukan, kata peguam negara

Peguam Negara Tommy Thomas berkata wujud keraguan berhubung kekuatan kes pendakwaan.

PETALING JAYA: Peguam Negara Tommy Thomas berkata hari ini bahawa keputusannya untuk menghentikan pertuduhan dalam kes LTTE dibuat berdasarkan keraguan terhadap kes pendakwaan kerana peruntukan yang terdapat dalam 2 undang-undang.

Dalam satu temu bual media beliau dilaporkan berkata bahawa keputusannya menarik balik pertuduhan ke atas 12 individu terbabit tidak bertujuan mempersoal bidang kuasa menteri dalam negeri.

Terdahulu hari ini Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berkata, di bawah undang-undang anti pengubahan wang (AMLA) adalah menjadi budi bicaranya untuk mengisytiharkan mana-mana pertubuhan atau individu sebagai pengganas.

Undang-undang itu juga mengandungi peruntukan mengenai pembiayaan keganasan dan hasil daripada aktiviti haram.

Muhyiddin berkata, wujud alasan kukuh bagi kerajaan mengekalkan LLTE dalam senarai kumpulan pengganas, yang merupakan isu yang berada di bawah bidang kuasa kementeriannya, bukan peguam negara.

“Menteri jelas betul. Beliau mempunyai budi bicara untuk mewarta atau menyahwartakan mana-mana kumpulan atau individu (sebagai pengganas),” kata Tommy seperti dilaporkan oleh Malaysian Insight.

Katanya, wujud keraguan berhubung kekuatan kes pendakwaan kerana peruntukan dalam AMLA dan tarikh warta notis yang menyenaraikan Harimau Pembebasan tamil Eelam sebagai kumpulan pengganas.

Beliau berkata, notis warta itu dibuat pada November 2014, tetapi pertuduhan terhadap seorang yang dituduh melibatkan aktiviti pada Mac dan Jun 2014.

“Jelas bahawa pertuduhan terhadapnya tidak boleh dipertahankan kerana pada masa itu, LTTE tidak diwartakan, yang merupakan unsur perlu bagi kesalahan,” kata Thomas.

Beliau berkata, pihak pembelaan boleh berhujah bahawa perisytiharan LTTE sebagai kumpulan pengganas mungkin tidak sah atau patut dibatalkan selepas semakan selama 6 bulan.

12 individu, termasuk 2 pemimpin DAP ditangkap pada Oktober tahun lepas dan ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (Sosma) kerana didakwa mempunyai kaitan dengan LTTE, yang didakwa telah berkubur selepas kempen tenteranya untuk menubuhkan sebuah negara Tamil di Sri Lanka gagal.